ESL: Carragher tak nampak masa depan FSG, Neville mahu Glazer tinggalkan United

By Muzaffar Musa 21 April 2021 1424
ESL: Carragher tak nampak masa depan FSG, Neville mahu Glazer tinggalkan United
Kedudukan Fenway Sports Group (FSG) di Liverpool mungkin tidak kekal lama susulan usaha mereka untuk menubuhkan Liga Super Eropah (ESL), kata legenda kelab itu, Jamie Caragher.

Dalam perkembangan berkaitan, bekas pemain, Gary Neville, berasakan waktu untuk keluarga Glazer di Manchester United sudah berakhir.

Hujung Minggu lalu, Liverpool dan United, termasuk Manchester City, Arsenal, Chelsea dan Tottenham, di samping pasukan dari Sepanyol dan Itali, telah mengumumkan mengenai penubuhan satu liga tertutup yang mencetuskan kecaman seluruh komuniti bola sepak Eropah.

Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) memberikan respons dengan mengancam akan mengenakan penggantungan kepada pemain yang terlibat dan Persekutuan Baolasepak Dunia (FIFA) juga telah memberikan sokongan.

Badan pengelola dan persatuan bola sepak turut mengecam pergerakan itu manakala penyokong pula berkampung di luar stadium bagi menunjukkan protes.

Dengan desakan hebat itu, City menjadi pasukan pertama mengumumkan penarikan diri mereka daripada ESL sebelum langkah itu dituruti lima kelab lain termasuk Liverpool dan United.

Walaupun masih belum diketahui hukuman apa yang akan dijatuhkan, pengulas Sky Sports, Carragher dan Neville, yakin pemilik kelab masing-masing akan menerima padah.

"Marah saya kepada Liverpool hari ini masih sama seperti semalam," kata Carragher tidak lama selepas Liverpool mengesahkan penarikan diri daripada ESL.

"Jurgen Klopp telah membuang mereka daripada bas, Kapten mereka juga sudah membuang mereka daripada bas, bersama dengan keseluruhan skuad. Tiada apa lagi untuk pemilik Liverpool selepas apa yang mereka lakukan.

"Saya sebenarnya berfikir mengenai situasi pemilik Liverpool ketika ini -- saya tidak dapat lihat bagaimana mereka boleh meneruskannya. Mereka tidak boleh terus meninggalkan kelab ini kerana amat jelas ia satu perniagaan. Ia bernilai besar jika mereka menjualnya tetapi saya tidak dapat lihat masa depan FSG di Liverpool selepas perkara ini dan saya fikir mereka akan memburukannya lagi jika terus bertahan lama di sana," katanya.
 
Joel dan Avram Glazer pula sudah lama tidak digemari penyokong United dan semalam juga menjadi detik di mana naib pengerusi eksekutif, Ed Woodward, sah akan meninggalkan kelab itu pada penghujung 2021.

Neville menambah: "Ed Woodward hanya dahan kepada pokoknya, kami kini perlu mencari akarnya. (Keluarga Glazer) perlu menyerah diri pada ketika mereka masih aman dalam kelab ini dan tidak lagi menunjukkan muka.

"Mereka mengambil wang dari kelab, memanfaatkan kelab, tidak ada yang dapat kami lakukan ketika kelab ini menjadi PLC tetapi mereka menyerang setiap peminat bola sepak di negara ini dengan apa yang mereka lakukan.

"Glazer tidak lagi memiliki tempat di Manchester dan kami harus bekerja keras untuk memastikan peraturan pemilikan di negara ini diubah, supaya kami memiliki sistem di mana perkara seperti ini tidak dapat terjadi, sama ada campur tangan pemerintah, pengawal selia bebas atau kelab yang dimiliki penyokong.

"Apa pun, kita harus memastikan bahawa ia adalah pemangkin perubahan. Ramai telah berbicara, kita berada di ambang anarki jika ini berterusan. Enam kumpulan pemilik di negara ini dan yang lain di Eropah telah salah membaca keadaan ini dengan teruk," katanya.
 

About Author

Muzaffar Musa

Comment