Willian sah akan meninggalkan Chelsea selepas kontraknya tamat dengan pemain kebangsaan Brazil itu dilaporkan semakin hampir untuk menyertai Arsenal.

Pemain perancang itu menyertai Chelsea daripada Shakhtar Donetsk pada 2013 dan melakukan 234 penampilan buat skuad The Blues itu dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Bagaimanapun, selepas memenangi dua gelaran liga, satu trofi Piala FA, Piala EFL dan Liga Europa, Willian akan meninggalkan Stamford Bridge selepas gagal mencapai kesepakatan baru bersama kelab itu.

Dalam satu surat terbuka buat penyokong Chelsea, Willian menuliskan satu ucapan selamat tinggal penuh beremosi buat kelab itu.

"Ia merupakan tujuh tahun yang cukup hebat. Pada Ogos 2013, ketika saya menerima tawaran daripada Chelsea, saya diyakinkan bahawa ini adalah tempat di mana saya patut bermain.

"Terdapat banyak kenangan manis dan ada juga sedih, terdapat trofi dan ia sentiasa mendebarkan.

"Saya amat berterima kasih kepada penyokong Chelsea terhadap kebaikan mereka menerima saya di Stamford Bridge dan sokongan yang diberikan buat saya sepanjang berada di kelab ini.

"Sudah sampai masanya untuk saya meninggalkannya. Saya sudah pasti akan merindukan rakan sepasukan saya.

"Saya akan merindukan kesemua staf di kelab ini, yang sentiasa melayan saya seperti seorang anak dan saya akan merindukan semua penyokong.

"Saya pergi dengan kebanggaan, dengan ingatan bahawa saya telah memenangi banyak perkara di sini dan sentiasa memberikan yang terbaik sewaktu menyarung jersi Chelsea," katanya.

Ejen Willian, Kia Joorabchian, mendedahkan bulan lalu bahawa pemainnya itu mendapat tawaran daripada dua kelab EPL, dengan Arsenal dikatakan antara pasukan yang paling berminat untuk mendapatkan pemain berusia 32 tahun itu.

Pedro juga meninggalkan Chelsea semalam dan akan menyertai AS Roma secara percuma.