Paul Pogba berjanji akan membantu Mason Greenwood ke puncak karier selepas pemain muda Manchester United itu menjaringkan satu gol yang membantu kemenangan 3-0 ke atas Aston Villa di Villa Park awal pagi tadi.

Greenwood, 18, menghasilkan satu lagi jaringan jarak jauh untuk merekodkan empat gol daripada tiga perlawanan.

Dia menjadi pemain remaja kedua -- selepas penjaring terbanyak sepanjang zaman United, Wayne Rooney -- menjaringkan gol dalam tiga perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) secara berturut-turut buat kelab itu.

Pogba, yang menjaringkan gol ketiga United untuk menamatkan kemarau jaringan 15 bulan dalam EPL, kagum dengan apa yang dipamerkan Greenwood dan pemenang piala dunia itu menjangkakan sesuatu yang lebih hebat akan ditunjukkan pemain muda itu.

"Dia amat bagus," kata pemain tengah Perancis itu kepada Sky Sports mengenai Greenwood.

"Saya gembira melihat mereka beraksi di bahagian depan, saya gembira dengan pemuda ini sewaktu latihan dan perlawanan, dan saya akan membawanya untuk berada di puncak.

"Dia masih perlu melakukan banyak perkara. Dia boleh melakukan sesuatu yang lebih daripada apa yang telah dilakukannya sekarang.

"Dia sememangnya berbakat dan telah membuktikan betapa dia boleh bermain untuk pasukan ini," katanya.

Bruno Fernandes, yang sedang berada di prestasi terbaik, merupakan sorang lagi penjaring gol yang membantu United mengekalkan rekod 17 perlawanan tanpa kalah dalam kesemua kejohanan.

Mereka menjadi pasukan pertama merekodkan kemenangan dengan kelebihan tiga gol atau lebih dalam empat perlawanan EPL berturut-turut.

Mereka turut mengecilkan jurang kepada satu mata dengan pasukan di tangga keempat, Leicester City.

"Kami gembira dengan prestasi ini tetapi kami sedar perlu mengekalkannya," tambah Pogba.

"Daripada prestasi ini dan beberapa minggu lalu, kami bermain dengan amat baik dan itulah standard Manchester United."