Jurgen Klopp mengesahkan kapten Liverpool, Jordan Henderson, akan terlepas baki saingan musim ini gara-gara kecederaan lutut.

Pemain tengah England itu dipapah keluar ketika pasukannya menewaskan Brighton and Hove Albion 3-1 Rabu lalu selepas bertembung dengan Yves Bissouma.

Dalam satu sidang media semalam, Klopp mendedahkan bahawa Henderson tidak akan memainkan peranannya lagi dalam membantu usaha pasukan juara itu untuk memecahkan rekod 100 mata Manchester City dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Bekas pemain Sunderland itu, bagaimanapun, tidak memerlukan pembedahan dan pengurus, Klopp, optimis kapten pasukannya itu akan kembali cergas untuk memulakan musim 2020-21.

Klopp berkata: "Berita terbaik yang ada. Ia adalah kecederaan lutut tetapi tidak memerlukan pembedahan.

"Dia tidak akan bermain lagi musim ini tetapi saya positif dia dapat memulakan musim baru ini. Dia seorang yang cepat sembuh."



Klopp turut mendedahkan Dejan Lovren dapat diturunkan dalam perlawanan menentang Burnley di Anfield malam ini, di mana Liverpool boleh mengumpulkan 95 mata sekiranya memenangi perlawanan itu.

Pertahanan tengah Croatia itu diketepikan kerana kecederaan tetapi mungkin dapat dipertaruhkan ketika menentang skuad The Clarets itu

Liverpool akan menghadapi Arsenal, Chelsea dan Newcastle United dalam tiga perlawanan terakhir selepas perlawanan dengan skuad kendalian Sean Dyche itu, yang memenangi tiga dan satu seri dalam empat perlawanan terakhir.