Unai Emery berkata Arsenal sedang cuba mendapatkan pemain yang sangat besar dan mahal tatkala The Gunners cuba memperkuatkan pasukan menjelang saingan Liga Perdana Inggeris musim 2019-20.

Arsenal kini melalui jendela perpindahan yang agak perlahan walaupun dikaitkan dengan bek kiri Celtic, Kieran Tierney, pemain muda Saint-Etienne, William Saliba, dan pemain Real Madrid, Dani Ceballos.

Peminat Arsenal mahu melihat pelaburan walaupun kecewa dengan pemilik kelab serta pencapaian menduduki tangga kelima liga musim lalu.

Bercakap dalam sidang media menjelang aksi pertama Piala Juara-Juara Antarabangsa menentang Bayern Munich esok, pengendali Arsenal, Emery, memberitahu wartawan: "Kami sedang bersabar dan tenang kerana mahu mendapatkan pemain yang benar-benar mampu membantu kami dengan prestasi memukau dan ia juga disebabkan kami mempunyai pemain yang sangat bagus dan muda. Kami juga perlu mendapatkan pemain bagus di sesetengah posisi.

"Saya boleh katakan kepada peminat bahawa kami akan memiliki skuad yang hebat dengan pemain yang ada ketika ini serta tiga atau empat nama yang boleh membantu dalam masa beberapa hari."

Pengarah Arsenal, Josh Kroenke, menggesa peminat untuk berasa teruja dengan perpindahan dan Emery menambah: "Ya. Kami sedang bercakap tentang pemain besar dan ia disebabkan kami memikirkan skuad.

"Kini, kami mempunyai pemain muda yang sangat berbakat serta mampu berkembang untuk mempamerkan aksi hebat bersama kami.

"Pemain lain boleh datang dan membantu kami. Memang kami perlukannya, datang dengan persembahan yang hebat. Sasaran kami adalah mendapatkan tiga atau empat pemain yang mampu meningkatkan pasukan terkini.

"Kami sangat perlukannya dan keutamaan kami adalah membawa masuk pemain besar dan berharga tinggi. Pemain pertama dalam senarai kami adalah sasaran utama. Jika kami gagal melakukannya, kami akan beralih ke pemain kedua. Kami sentiasa fikirkan untuk tingkatkan pasukan.

Ceballos dilaporkan semakin hampir untuk menyertai Arsenal dari Santiago Bernabeu menerusi pinjaman jangka panjang tetapi turut dikaitkan dengan seteru London, Tottenham Hotspur, serta AC Milan.

Ditanya mengenai Ceballos semalam, Emery berkata: "Saya tidak mahu bercakap tentang sebarang nama tetapi Ceballos adalah pemain yang bagus."