Dean Henderson akan membarisi skuad utama Manchester United dalam perlawanan 'derby' dengan Manchester City, awal pagi Ahad ini, selepas David de Gea kembali ke Sepanyol untuk menyambut kelahiran anak sulungnya.

De Gea terlepas perlawanan ketika mereka buntu tanpa jaringan di Crystal Palace, kelmarin, yang disifatkan pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer, sebagai hal "peribadi".

Semalam, penjaga gol itu menyiarkan gambar bayi, Yanay, di media sosial.

Solskjaer yakin Henderson sudah bersedia untuk menghadapi cabaran yang menantinya di Etihad Stadium hujung minggu ini selain The Cityzens akan turun dengan reputasi belum tewas dalam 28 perlawanan, selepas mencipta 21 kemenangan berturut-turut.




"Saya akan memberi David masa yang diperlukankan sebelum dia kembali," kata Solskjaer, yang pasukannya mempunyai 69 peratus kemenangan tanpa De Gea dalam 13 perlawanan, berbanding 52 peratus daripada 29 perlawanan dia dipertaruhkan.

"Dia ingin pulang dan berada di sana (ke Sepanyol), jadi belum ada keputusan muktamad yang perlu dibuat. Dean sudah bersedia, jadi bolehlah kami memberinya kesempatan yang diperlukannya.

"Sebaik sahaja David kembali, kami perlu mematuhi peraturan jadi saya harap dia juga akan segera bersiap.

"Kami membenarkannya pulang tetapi kami menginginkannya kembali secepat mungkin -- namun dia adalah manusia biasa. Saya tidak tahu bilakah dia kembali tetapi ia tidak akan lama."




United ketinggalan 14 mata di belakang seteru kota mereka itu selepas hanya memenangi dua daripada lapan perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) terakhir.

Ia boleh menggugat kedudukan mereka dalam kelompok empat teratas dengan pasukan di tempat kelima, Everton, lima mata di belakang selain mempunyai kelebihan satu perlawanan.

Namun, Solskjaer menolak untuk melihat lebih jauh berbanding perlawanan hujung minggu ini memandangkan anak buahnya mengintai kemenangan ketiga berturut-turut di City buat pertama kalinya sejak tahun 2000.

"Fokus kami adalah pada perlawanan ini, bukan di mana kami akan berakhir," kata pengurus berbangsa Norway itu yang menjangkakan Paul Pogba akan terus tersisih, sebaliknya lebih mengharapkan Victor Lindelof dan Anthony Martial sempat cergas.

"Kami mahu membentuk skuad terbaik Man United dan berusaha memperbaiki pencapaian musim lalu, mara ke final dan memenangi trofi. City di depan kami dengan jarak yang cukup lebar.

"Saya hanya dapat mengawal apa yang berlaku di Man United, ada banyak perbezaan di antara kedua-dua kelab.

"Mereka adalah satu-satunya pasukan di depan kami pada masa ini. Mereka melalui detik mengagumkan dengan prestasi hebat dan 21 kemenangan."

Walaupun The Red Devils goyah baru-baru ini yang menyaksikan tiga perlawanan terakhir berakhir tanpa gol, Solskjaer tidak bimbang akan kehilangan rentak.

"Kami mengharungi tempoh seminggu tanpa menjaringkan gol, bukannya enam minggu dalam prestasi buruk," katanya sambil juara 30 kali itu belum pernah seri tanpa jaringan empat kali berturut-turut.

"Kami mengalahkan Real Sociedad 4-0 dan Southampton 9-0. Jumlah perlawanan juga boleh memberi kesan."