Aksi penjaga gol Manchester United, David De Gea sekali lagi menjadi perhatian apabila dibolosi Tottenham Hotspur dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) membabitkan kedua-dua pasukan itu yang berlangsung pada pagi Sabtu.

Gawang De Gea dibocori oleh Tottenham pada minit ke-27 menerusi jaringan Steven Bergwijn, selepas pemain Belanda itu mengambil kesempatan daripada kesilapan pertahanan kiri United, Luke Shaw.

Namun jika aksi gol itu dilihat semula, ia seakan mampu diselamatkan De Gea ketika Bergwijn melakukan rembatan.



Terdapat pandangan peminat yang mahu penjaga gol muda United yang kini dipinjam ke Sheffield United, Dean Henderson dibawa pulang sebagai pilihan utama musim depan.

Manakala terdapat juga segelintir peminat dan pemerhati yang mahu De Gea terus diberikan kepercayaan.

Bagi bekas pertahanan Tottenham dan England, Gary Stevens, dia tetap berasa De Gea masih relevan sebagai pilihan utama United.

"Pada saya De Gea masih seorang penjaga gol yang hebat tetapi ketika ini tidak berada di tahap terbaik.

"Posisi penjaga gol adalah posisi yang cukup sukar jika anda melakukan kesilapan.

"Tetapi barisan pertahanan juga perlu membantu penjaga gol untuk memastikan benteng pasukan ampuh.

"Ketika aksi pada Sabtu, jika Shaw tidak melakukan kesilapan atau jika De Gea tidak dibolosi, terdapat kemungkinan United menang.

“Saya tidak setuju dengan pandangan Roy Keane sebelum ini yang mahu De Gea digugurkan,” kata Steven ketila menjadi tetamu siaran lansung akai Tottenham-United di saluran CH813 Astro Supersport 3 bersama Danny Higginbotham pada Sabtu.

Dalam pada itu, Stevens turut menyifatkan terdapat peningkatan dengan corak permainan Tottenham meskipun terpaksa akur dengan keputusan seri selepas Bruno Fernandes meraih gol penyamaan menerusi penalti pada minit ke-81.

"Sebelum EPL ditangguhkan kerana Covid-19, Tottenham berdepan masalah kecederaan beberapa pemain tonggak seperti Harry Kane dan juga Son Heung-min.

"Tetapi ketika berdepan United mereka tampil dengan skuad terkuat dan nampak lebih tersusun.

"Mereka tampak lebih teratur, bermain baik pada babak pertama tetapi United berjaya bangkit untuk menafikan kemenangan mereka," kata Stevens yang beraksi bersama England di Piala Dunia 1986 Mexico.

Stevens turut berasa Jose Mourinho perlu diberikan lebih masa untuk mengembalikan keampuhan Tottenham.

"Bukan mudah buat Mourinho membentuk barisan yang berkesan selepas tiba pada pertengahan musim menggantikan Mauricio Pochettino.

"Dia dan Pocettino mempunyai falsafah bola sepak berbza dan Mourinho memerlukan satu musim penuh untuk menjelmakan perubahan yang diharapkan peminat,” katanya.