Peter Schmeichel menegaskan David de Gea adalah penjaga gawang terbaik buat Manchester United dan dapat bertahan selama satu dekad lagi.

Prestasi De Gea sering kali menjadi perbualan utama, pemain kelahiran Sepanyol itu berjuang untuk mempertahankan tempatnya dan berjaya menempah nama selaku penjaga gol terbaik dunia.

Pemain berusia 29 tahun itu telah melakukan sejumlah kesalahan ketika beraksi bersama United, kali terakhir ketika seri 1-1 dengan Tottenham, yang mendapat kritikan hebat daripada bekas rakan sepasukan Schmeichel, Roy Keane.

Bagaimanapun, Schmeichel, yang dianggap sebagai legenda United, memberikan sokongan penuh kepada bekas pemain Atletico Madrid itu.

"Dia luar biasa bagi saya , tidak ada keraguan tentang itu," kata Schmeichel kepada MUTV.

"Dia bertahan ketika saat paling sukar dalam sejarah Manchester United iaitu zaman sekarang. Tiada persoalan jika melihatnya sebagai pemain terbaik pasukan.

"De Gea dinobat sebagai Pemain Terbaik empat kali dalam tempoh lima tahun. Itu hanya menceritakan kisahnya sendiri mengenai persembahannya untuk kelab.

"David adalah orang nombor satu kami dan dia masih lagi muda.

"Dia dapat bertahan selama 10 tahun lagi. Marilah semua menyokongnya. Kita harus menyokong apa yang kita ada kerana kita tahu apa yang kita miliki benar-benar berkualiti."