Kevin De Bruyne bersedia untuk menerima jawatan ketua pasukan Manchester City sekiranya rakan sepasukan memilihnya sebagai individu untuk menggantikan tempat Vincent Kompany.

City kini tiada kapten selepas Kompany berhijrah ke Anderlecht akhir musim lalu dan mereka masih belum memilih nama pengganti.

De Bruyne masuk selaku pemain gantian dalam aksi pertama pramusim City semalam, mencipta gol keempat dalam kemenangan 4-1 ke atas West Ham, lawan sama yang bakal dihadapi bagi perlawanan pembukaan saingan Liga Perdana Inggeris musim 2019-20.

Pengendali, Pep Guardiola, mengesahkan selepas aksi di China bahawa seluruh pasukan akan memilih kapten sebaik sahaja kembali menjalani latihan.

Dan De Bruyne berkata dia bersedia untuk menggalas tanggungjawab itu.

"Jika pasukan mahu saya menjadi kapten, saya dengan bangga akan menerimanya," ujarnya.

"Namun, saya rasa semua orang perlu berbincang sebagai satu pasukan dan kelab. Ia akan disuarakan apabila semua telah pulang.

"Saya rasa kami perlu melakukannya kerana ia tugas yang penting, bukan hanya di dalam padang tetapi turut melibatkan perkara di luar padang."

Selain muka baru, Rodri, pemain daripada akademi, Tommy Doyle dan Taylor Harwood-Bellis, diberikan penampilan pertama di Nanjing dan sebagai contoh kualiti seorang ketua yang dimiliki, De Bruyne memuji persembahan barisan pemain muda itu.

"Jika anda beraksi dengan salah sebuah kelab terbesar di dunia, bergelar pemain muda dan memecah masuk ke skuad utama, anda semestinya istimewa," katanya.

"Saya bermula di Belgium, tahap yang berbeza berbanding di England. Mungkin lebih mudah meraih peluang. Jika anda mahu beraksi buat kami, anda tahu tahap anda di mana. Jika beraksi cemerlang di atas padang, anda akan meraih peluang.

"Saya rasa mereka menjalankan tugas dengan baik dan saya gembira melihatnya. Detik yang hebat untuk melihat mereka bermula buat kali pertama bersama kelab seperti kami," tambahnya.

Kempen pramusim City diteruskan Sabtu ini apabila mereka berdepan Wolverhampton Wanderers dalam aksi terakhir Trofi Asia Liga Perdana.