Pep Guardiola memuji pengaruh yang dipamerkan Kevin De Bruyne dalam masalah kecederaan yang melanda Manchester City apabila pemain tengah itu membintangi kemenangan 3-1 ke atas Wolves dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi.

Guardiola melalui perlawanan di Stadium Molineux itu tanpa dapat menurunkan tujuh pemain senior tetapi pasukannya mempamerkan aksi memukau dalam menewaskan lawan itu, yang pernah menumbangkan mereka sebanyak dua kali musim lalu.

De Bruyne memainkan peranan penting dalam perlawanan itu dengan memenangi dan menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-20 sebelum terlibat dengan dua lagi jaringan yang disumbangkan Phil Foden dan Gabriel Jesus.

"Sejak kami kembali daripada waktu rehat antarabangsa, dia mempamerkan komitmen yang amat tinggi dalam setiap sesi latihan," kata Guardiola, yang menyaksikan Raul Jimenez merapatkan jurang jaringan itu kerapa 1-2 pada minit ke-78, dalam sidang media.

"Buat masa ini, dia pemain yang amat penting buat kami. Dia sentiasa seperti itu tetapi dengan situasi yang dialami kami ketika ini, dia amat-amat penting.

"Dia mengambil sepakan penalti dengan amat hebat, dia mengambilnya dengan sempurna.

"Kemudian dia melakukan beberapa bantuan dengan cara lariannya.

"Dia bermain dengan amat baik, sama seperti seluruh pasukan ini.

"Dia gemar bermain bola sepak, dia langsung tidak berasa tertekan dan suka bersaing dengan standard yang tinggi," katanya.

Ilkay Gundogan diuji positif koronavirus yang mengakibatkan Guardiola berdepan masalah dengan pemilihan pemainnya menjelang perlawanan pembukaan City itu.

Sergio Aguero, Bernardo Silva, Joao Cancelo, Oleksandr Zinchenko dan Eric Garcia turut tidak dapat diturunkan kerana kecederaan.

Aymeric Laporte hanya dapat turun berlatih Jumaat lalu selepas bebas daripada COVID-19, sekali gus meletakkan John Stones dan pemain baru, Nathan Ake, di posisi pertahanan tengah.

Guardiola mengesahkan pasukannya akan menurunkan barisan daripada Akademi Manchester City menjelang perlawanan menentang Bournemouth dalam Piala EFL, Khamis ini sebelum pasukan itu menghadapi Leicester City dalam saingan liga pada hujung minggu ini.

"Kesemua mereka akan kembali selepas waktu rehat antarabangsa (bulan depan)," tambah Guardiola ketika ditanya bila barisan pemainnya yang tercedera dapat kembali diturunkan.

"Selepas itu, mereka akan bersedia untuk diturunkan.

"Laporte tidak cedera tetapi dia hanya dapat menyertai satu sesi latihan dalam dua bulan ini.

"Eric Garcia mengalami 16 jahitan, kerana itu dia tiada di sini hari ini tetapi dia mungkin akan cergas dalam perlawanan seterusnya.

"Pemain lain saya fikir akan kembali selepas waktu rehat antarabangsa -- Joao, Bernardo, Oleks dan Sergio mungkin lebih lama.

"Itulah situasinya. Mungkin dalam beberapa hari ini ia akan berubah sedikit," katanya lagi.