Kevin De Bruyne menolak spekulasi yang mengaitkan bintang Barcelona, Lionel Messi, berpindah ke Manchester City sambil membincangkan situasi kontraknya sendiri bersama gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Messi memohon untuk berpindah berikutan pergolakan musim 2019-20 yang menyaksikan Barca dimalukan 2-8 oleh Bayern Munich dalam separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL) sementara taktha LaLiga dirampas Real Madrid, tetapi pemenang enam Ballon d'Or itu akhirnya memilih untuk kekal di Camp Nou untuk semusim lagi.

Pemain berusia 33 tahun itu disebut-sebut akan menyertai City dan walaupun hasrat itu gagal direalisasikan dalam jendelan pembelian pemain yang lalu, pasukan bimbingan Pep Guardiola berkenaan dilaporkan masih memasang hajat untuk menyambat khidmat ketua pasukan Argentina tersebut.

Ketika desas-desus mengenai Messi semakin reda, bintang City itu berkata: "Secara jujurnya, saya tidak peduli sangat pun.

"Jika dia ke mari, ia sesuatu yang baik, jika dia tiada sekalipun saya masih mempunyai ramai pemain bagus di sebuah kelab yang saya gemari, jadi setakat ini (Messi tidak datang pun) tidak mengapa."

PFA Players' Player of the year ?

A post shared by Kevin De Bruyne (@kevindebruyne) on



Masa depan tonggak Belgium itu sendiri menjadi topik perbincangan apabila City dilaporkan telah mencapai kesepakatan kontrak baru dengan pemain tengah tersebut.

Pemain berusia 29 tahun itu telah mengikat kontrak bersama City sehingga 2023 tetapi kelab itu ingin menawarkan De Bruyne perjanjian baru selama lima tahun lagi.

Tetapi De Bruyne berkata: "Saya sangat gembira di kelab ini, saya boleh katakan buat masa ini saya belum berbincang dengan kelab jadi saya tidak tahu mengapa orang mengatakan saya sudah bersetuju dengan perjanjian baru.

"Saya sering memberitahu semua orang bahawa saya benar-benar gembira di kelab ini dan saya berasa selesa jadi jika orang-orang di kelab ini ingin berunding dengan saya, saya terbuka untuk itu dan kami akan melihat apa yang bakal berlaku.

"Namun, pada masa ini tiada apa yang terjadi, jadi saya akan terus ikut situasi semasa."

De Bryune sedang mewakili Belgium untuk menghadapi England bagi kempen Liga Negara-Negara Eropah (UNL), tengah malam ini.