Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, tidak pasti sekiranya Kevin De Bruyne sempat pulih menjelang perlawanan 'derby' menentang Manchester United akibat kecederaan bahu.

De Bruyne tidak terlibat ketika City berkunjung ke wakil Liga Kejuaraan, Sheffield Wednesday, awal pagi tadi untuk mara ke suku akhir Piala FA menerusi jaringan tunggal Sergio Aguero.

Bercakap selepas kemenangan itu, Guardiola mendedahkan pemain bintangnya itu tidak dapat diturunkan kerana kecederaan yang dialaminya pada penghujung perlawanan akhir Piala Liga (Inggeris) menentang Aston Villa hujung minggu lalu.

Pengurus City itu mengakui tidak pasti sama ada pemain berusia 28 tahun berkenaan sempat cergas untuk aksi di Old Trafford awal pagi Isnin depan bagi aksi Liga Perdana Inggeris (EPL).

"Kevin mempunyai masalah di sini (menunjuk bahunya)," kata Guardiola kepada media. "Dia tidak cergas.

"Dalam perlawanan akhir yang lalu, pada minit-minit terakhir dia terjatuh di kedudukan yang buruk hingga ditimpa masalah di belakang badannya, kami tidak tahu berapa lama (dia akan tersisih)."

Ditanya apakah pemain antarabangsa Belgium itu akan beraksi ketika mereka menghadapi United, tambahnya: "Saya tidak tahu."

De Bruyne hanya muncul sebagai pemain gantian dalam separuh masa kedua menentang Villa di Stadium Wembley selepas Ilkay Gundogan dikeluarkan pada minit ke-58.

Tiga hari selepas perlawanan menentang seteru setempat itu, City akan menjadi tuan rumah kepada Arsenal dalam perlawanan EPL disusuli aksi timbal balik pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) dengan Real Madrid di Stadium Etihad, 18 Mac depan.