David Luiz yakin pemilik Chelsea, Roman Abramovich, masih mencintai kelab itu dan minatnya tidak pernah pudar meskipun berdepan masalah visa.

Jutawan Russia berkenaan membeli Chelsea pada 2003 dan telah mengubah nasib kelab itu dengan melabur sejumlah wang yang besar.

Kejuaraan menyusul tidak lama sejurus ketibaannya yang menyaksikan mereka merakamkan lima gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL), Liga Juara-Juara (UCL) dan Liga Europa sekali pada 2012 dan 2013.

Isu visa menjadi halangan buat Abramovich untuk menghadiri aksi Chelsea musim ini dan dia dilaporkan telah mengatasi masalah itu dengan mendapatkan kewarganegaraan Israel, namun kelibatnya belum pernah kelihatan di Stamford Bridge sepanjang musim ini.

Situasi itu mencetuskan khabar angin -- beberapa rakan-rakannya tampil untuk menafikan -- bahawa dia akan menjual The Blues, namun David Luiz yakin semangat pemilik itu belum pudar.

Bercakap kepada Daily Mail, David Luiz berkata: "Kelibatnya tiada di sini tetapi hatinya tetap di sini. Dia menyayangi kelab ini.

"Dialah yang membina Chelsea, Chelsea berubah hasil daripada usahanya. 15 trofi dalam tempoh 15 tahun. Dia ke mari untuk melakukan sesuatu yang luar biasa dan dia berjaya melakukannya.

"Saya berpeluang untuk bercakap dengannya minggu lalu bagi menentukan masa depan saya. Dia masih menyayangi kelab ini dan segalanya tentang kelab ini, ia bukan berkenaan individu semata-mata.

"Dia mahu memenangi segala-galanya, dia masih cintakan kelab ini dan mahu meraih lebih banyak kejayaan. Sukar baginya tetapi hatinya sentiasa bersama kami, dia cuba melibatkan diri pada setiap hari.

"Dia masih mempunyai keghairahan terhadap kelab ini. Caranya berfikir dan kemahuannya masih sama, iaitu memikirkan tentang kemenangan."