Manchester United telah menggesa penyokongnya agar menjauhkan diri dari mana-mana stadium yang melibatkan perlawanan mereka untuk baki saingan musim ini.

Jika saingan bola sepak di England diteruskan, semua aksi akan dijalankan secara tertutup.

Semalam, United mengesahkan pemegang tiket bermusim menerima bayaran semula untuk baki perlawanan yang tidak dapat disaksikan.

"Kami berkongsi kekecewaan anda apabila tidak dapat menyaksikan perlawanan United di stadium tetapi kami mengharapkan sokongan padu anda dari rumah," kata wakil United.

"Kami juga memohon kerjasama anda untuk tidak hadir ke mana-mana stadium yang melibatkan perlawanan kami.

"Menerusi sokongan dari rumah dan mengikut garis panduan kerajaan, anda akan memainkan peranan untuk memastikan rakan-rakan, ahli keluarga dan semua penyokong United selamat."

Pihak kelab juga menyifatkannya sebagai usaha United untuk melindungi masyarakat.