Marcus Rashford menggesa bakat muda agar "keluar bermain di taman" setelah saingan akademi di England musim ini dibatalkan angkara novel koronavirus (Covid-19).

Liga di peringkat remaja dibatalkan Khamis lalu memandangkan United Kingdom (UK) masih mengenakan perintah kawalan pergerakan ekoran pandemik berkenaan.

Walaupun pengelola, Liga Perdana, dan Liga Perdana Inggeris (EPL) masih berharap untuk melengkapkan musim ini, pasukan akademi pula sudah perlu melihat kepada saingan 2020-21 selepas kempen mereka diakhiri.

Penyerang England itu yang merupakan produk akademi Manchester United, menyatakan simpatinya kepada pemain muda yang tidak dapat beraksi lagi musim ini.

Bagaimanapun, dia menegaskan ini bukan masanya mereka tawar hati dengan bola sepak.

"Berita yang anda terima semalam mungkin bukanlah apa yang anda ingin dengar," katanya di Twitter semalam.


"Saya tahu anda hanya mahu beraksi kerana saya juga sama tetapi keputusan berbeza telah dibuat demi melindungi semua orang yang terlibat. Ia lebih penting daripada bola sepak.

"Anda mungkin berasa sedikit terkilan tetapi perkara terbaik yang boleh anda lakukan adalah membawa bola dan bermain di taman.

"Ketika saya berada di akademi, saya biasa ke taman dan menetapkan sasaran agar saya dapat mempraktikkan ketepatan sepakan saya, kita harus kreatif!

"Sekarang bukan masa untuk berjauh hati dengan sukan ini.

"Inilah masanya untuk mengingati mengapa anda jatuh cinta dengan sukan ini. Anda perlu mengharunginya dan kami tidak sabar untuk melihat anda semua kembali musim depan !"