Penjaga gol England dan Everton, Jordan Pickford, menafikan laporan bahawa dia telah dinasihati supaya mengasingkan diri selepas membuat penampilan umum kelmarin.

Everton menutup kemudahan gelanggang latihan mereka sambil pemain dan kakitangannya disarankan agar mengasingkan diri selepas ada anggota skuad itu yang tidak dinamakan telah menunjukkan tanda-tanda wabak koronavirus baru (Covid-19).

Pandemik Covid-19 itu memaksa semua liga bola sepak utama Eropah menggantung perlawanan musim ini termasuk empat divisyen teratas di England.

Bagaimanapun, pengurus The Toffees, Carlo Ancelotti, semalam memberitahu Gazzetta dello Sport bahawa pasukan itu tidak mengenakan arahan pengasingan diri di sebalik langkah berjaga-jaga yang diketengahkan.

Kelmarin, Pickford dilihat menghadiri pertarungan tinju amal di Durham bersama isterinya.

Namun, pemain berusia 26 tahun itu, persembahannya musim ini menerima kritikan, menegaskan dia tidak melanggar sebarang protokol.

"Malam semalam saya menghadiri acara tinju bersama keluargaku," katanya dalam satu mesej di akaun Twitter rasminya.

"Baru-baru ini, gelanggang tinju di kejiranan terdekat saya telah terbakar. Sempena kerjasama dengan salah satu penaja saya, kami membantu kelab itu untuk kembali beroperasi.


"Terdapat ramai peninju muda yang berlatih di sini dan ia boleh membantu komuniti setempat.

"Saya telah berjanji kepada mereka untuk menghadiri acara itu dan terlebih dahulu,, saya telah berunding dengan doktor kelab untuk memastikan saya dalam keadaan yang baik untuk menghadirinya."

Everton sepatutnya menjadi tuan rumah kepada Liverpool -- yang memerlukan dua kemenangan lagi untuk memuktamadkan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) pertama mereka sejak 30 tahun lalu -- dalam aksi 'derby' Merseyside.