Fulham terpaksa menunda perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali kedua berturut-turut selepas sesi ujian koronavirus yang dijalankan mereka menunjukkan semakin banyak keputusan positif.

Premier League menunda perlawanan di antara Fulham dan Tottenham beberapa jam sebelum sepak mula perlawanan itu pada Rabu lalu -- perkara yang mengecewakan Jose Mourinho -- selepas beberapa ahli pasukan kendalian Scott Parker itu didapati positif virus berkenaan.

Parker -- yang turut perlu menjalani pengasingan kendiri baru-baru ini -- mengesahkan semalam bahawa dia masih menjalankan persiapan bagi perlawanan menentang Burnley malam esok biarpun kehilangan sebahagian besar pemain.

Bagaimanapun, kunjungan ke Turf Moor itu kini dibatalkan sebagai menjadi satu lagi gangguan dalam perjalanan EPL musim ini dengan pihak penganjur itu berterusan menegaskan bahawa kejohanan itu akan tetap diteruskan meskipun tahap jangkitan di United Kingdom (UK) kian meningkat dan terdapat desas-desus untuk bola sepak di England direhatkan.

Dengan kebanyakan daerah di negara itu sedang menjalani perintah berkurung yang ketat, Premier League mengesahkan 18 pemain dan pegawai pasukan telah diuji positif sepanjang minggu ini.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Fulham berkata: "Berikutan pertambahan keputusan positif dalam ujian COVID-19 terbaru, kelab ini boleh mengesahkan bahawa perlawanan menentang Burnley pada Ahad ini ditunda selepas perbincangan bersama Premier League dan nasihat daripada pasukan perubatan.

"Mereka yang diuji positif sedang menjalani pengasingan kendiri, sejajar dengan panduan Kerajaan UK dan Premier League.

"Kebajikan pemain, staf dan keluarga mereka akan terus menjadi kepentingan utama dan kami mendoakan mereka yang diuji postif akan selamat dan cepat sihat."

Ia merupakan perlawanan EPL keempat ditunda disebabkan jangkitan koronavirus. Pada awal Disember lalu, perlawanan Newcastle United dan Aston Villa terpaksa dibatalkan manakala pada Isnin lalu, Manchester City memohon agar perlawanan mereka menentang Everton dianjakkan ke depan selepas tiga pemainnya diuji positif.

Bagaimanapun, skuad kendalian Pep Guardiola itu dibenarkan untuk kembali berlatih selepas tiada sebarang pertambahan kes positif dan perlawanan mereka menentang Chelsea esok akan berlangsung seperti yang dirancangkan.