Pep Guardiola tidak mahu pemain bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL) menjadi kambing hitam susulan penularan COVID-19 di United Kingdom (UK).

Liga dan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFA) pada minggu ini menggesa pemain agar mematuhi protokol pandemik itu ketika meraikan gol.

Campur tangan itu berlaku selepas Timbalan Ketua Pegawai Perubatan England, Profesor Jonathan Van-Tam, menuntut pemain bola sepak supaya menghentikan tindakan kontak rapat yang boleh dihindari sejurus gol dijaringkan.

Pengurus Manchester City, Guardiola, baru-baru ini dikritik kerana mempertahankan tindakan Benjamin Mendy yang meraikan Malam Tahun Baru bersama tiga orang luar, sekali gus melanggar garis panduan COVID-19 yang ditetapkan Kerajaan Inggeris.

Kyle Walker dan Phil Foden turut melakukan kesalahan seumpamanya tetapi ketika bercakap dalam sidang akhbar sempena menghadapi Crystal Palace dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi Isnin ini, pengurus itu menegaskan bahawa tingkah laku pemain -- baik mahupun buruk -- harus dilihat dalam konteks yang lebih luas.

"Kami mahu mematuhi protokol, saya faham betapa ia sensitif. Saya tidak fikir masalah di UK sekarang adalah disebabkan pemain," kata bekas pengurus Barcelona itu, yang kehilangan ibunya akibat COVID-19 tahun lalu.

"Kami mampu melakukan sebaik mungkin. Apabila seseorang melanggar peraturan dan kadang-kadang ia terjadi, itu tidak bagus.

"Semua kelab sudah jelas dengan ketetapan ini. Kami sedar situasinya. Mudah-mudahan kami tidak kerap menjaringkan gol. Kami mungkin akan berhati-hati pada awalnya dengan tidak memeluk rakan sepasukan tetapi ada masanya ia sukar diamalkan -- lebih-lebih lagi ketika anda beremosi.

"Di sudut lain, saya faham. Banyak pihak tidak dapat meneruskan perniagaan mereka, operasi mereka terpaksa ditutup. Kami bernasib baik kerana kami dapat terus beraksi dan melakukan tugas kami.

"Semua kelab, pengurus, doktor dalam Liga Perdana, Liga Juara-Juara (UCL), Liga Kejuaraan, Liga Satu dan Liga Dua mematuhi peraturan ini. Kami prihatin betapa sukar dan pentingnya keadaan di UK ketika ini. Ramai orang mati dan dijangkiti setiap hari.

"Kami akan melakukan yang terbaik untuk mematuhi peraturan baru ini. Pemerintah dan saintis akan memberitahu kami apa yang harus dilakukan.

"Tapi tolong, keadaan di UK bukan kerana pemain bola sepak. Jangan buat pemain seperti perlu bertanggungjawab sepenuhnya. Ini adalah situasi pandemik di seluruh dunia."




Eric Garcia sedia untuk dipertaruhkan ketika berdepan Palace selepas diuji positif selain laporan di Sepanyol semakin hangat mengaitkan pertahanan muda itu akan ke Barcelona bulan ini.

"Saya harap tidak tetapi mungkin orang-orang di Barcelona lebih tahu daripada saya," kata Guardiola.

"Saya tidak tahu apa yang akan berlaku tetapi mungkin itulah yang akan berlaku."