Pengurus Tottenham Hotspur, Jose Mourinho, secara sukarela membantu warga emas yang dikuarantin disebabkan pandemik Covid-19 semalam.

Mourinho membantu Age UK dan Love Your DoorStep -- sebuah perniagaan yang menghubungkan warga tempatan dengan produk dan perkhidmatan tempatan -- di Enfield dengan menyediakan bungkusan makanan dan keperluan harian untuk dihantar.

Pengurus Spurs itu berkata dalam video yang dikirimkan melalui akaun Twitter rasmi Love Your DoorStep: "Saya berada di sini untuk membantu Age UK Enfield, Love Your DoorStep Enfield dan sudah pasti anda boleh mendermakan makanan, wang dan menjadi sukarelawan."

Perdana Menteri United Kingdom, Boris Johnson, kemudian mengumumkan perintah berkurung dan memberikan amaran bahawa mereka yang tidak bekerjasama akan dikenakan denda.

Liga Perdana Inggeris ditunda sehingga 30 April ini tetapi berkemungkinan akan berlanjutan sehingga tempoh yang lebih panjang.

Covid-19 telah mengorbankan sekurang-kurangnya 16,490 mangsa di seluruh dunia dengan lebih daripada 378,390 orang disahkan dijangkiti.