Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, menyokong keputusan Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk menangguhkan perlawanan ekoran penularan wabak koronavirus baru (Corvid-19).

Semalam, semua perlawanan EPL ditangguhkan hingga 3 April depan dalam usaha memerangi pandemik berkenaan.

Keputusan itu dibuat selepas mesyuarat yang melibatkan pegawai liga dan wakil kelab selepas pengurus Arsenal, Mikel Arteta, dan pemain sayap Chelsea, Callum Hudson-Odoi, diuji positif.

Pemain dan kakitangan Liverpool secara sukarela menggantung sementara sebarang aktiviti di pangkalan latihan, Melwood, sementara seteru setempat, Everton -- yang sepatutnya menyambut The Reds dalam pertemuan 'derby Merseyside' -- telah menutup semua kemudahan mereka setelah seorang anggota pasukan utama dilaporkan mengalami gejala Covid-19.

Justeru, Klopp, yang pasukannya memimpin EPL dengan kelebihan 25 mata, menyokong penundaan perlawanan itu.


"Yang pertama sekali, kita semua perlu melakukan apa sahaja yang mampu untuk melindungi satu sama lain. Saya maksudkannya terhadap masyarakat," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di laman sesawang rasmi Liverpool.

"Inilah yang sepatutnya dilakukan dan pada masa ini, saya fikir ia menjadi keutamaanya.

"Saya pernah katakan, bola sepak adalah perkara terpenting dalam perkara-perkara yang paling tidak penting. Hari ini, perlawanan dan bola sepak sama sekali tidak lagi penting.

"Sudah tentu, kami tidak mahu bermain di depan stadium yang kosong dan kami tidak mahu perlawanan atau kejohanan digantung tetapi jika berbuat demikian boleh membantu seseorang individu itu kekal sihat -- walaupun hanya seorang -- kami akan melakukannya tanpa banyak soal.

"Di antara bola sepak dan kebaikan masyarakat, ini bukan satu pertandingan.

"Keputusan ini diketengahkan demi menjaga keselamatan orang ramai. Oleh kerana itu, kami menyokong sepenuhnya, kami telah melihat anggota pasukan pesaing kami jatuh sakit. Virus ini telah membuktikan bahawa bola sepak juga tidak kebal."

Meskipun disingkirkan dalam Liga Juara-Juara (UCL) -- yang juga ditangguhkan -- kepada Atletico Madrid kelmarin, mereka menghampiri gelaran sulung EPL sejak kali terakhir menjulangnya pada 1989-90.

Begitupun, saingan domestik itu belum dapat dipastikannya -- dengan pengelola liga itu berharap dapat melengkapkan musim ini.

"Pada masa ini, tiada siapa yang tahu apa yang akan terjadi tetapi sebagai sebuah pasukan, kami perlu yakin bahawa pihak berkuasa akan membuat keputusan berdasarkan pertimbangan yang wajar dan bermoral," katanya.

"Saya fikir pada masa ini, dengan begitu ramai orang di sekitar bandar ini, rantau ini, negara dan dunia menghadapi kegelisahan dan ketidakpastian, adalah satu kesilapan besar untuk bercakap tentang apa-apa selain menasihati orang ramai agar mengikuti nasihat pakar serta menjaga diri mereka sendiri dan antara satu sama lain.

"Mesej kami kepada penyokong ialah mengenai kesejahteraan mereka. Utamakan kesihatan anda terlebih dahulu. Usah ambil risiko. Fikirkan tentang perkara yang boleh menyumbang kepada masyarakat dan bertindak ke atas mereka dengan belas kasihan."