Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, mengakui bahawa terdapat ketiakpastian mengenai keadaan pemainnya selepas dijangkiti koronavirus.

Pasukan gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu masih tidak dapat menurunkan Ederson, Ferran Torres dan Tommy Doyle menjelang perlawanan Piala FA menentang Birmingham City malam esok.

Tetapi Guardiola berkata dia masih tidak jelas mengenai bagaimana keadaan pemain-pemain itu selepas disahkan positif COVID-19.

"Doktor tidak tahu bagaimana tubuh mereka akan memberikan reaksi, mungkin memerlukan sebulan atau setahun, tiada siapa tahu apa yang akan berlaku," katanya kepada wartawan.

"Bayangkan selepas mengetahui anda positif, anda tidak tahu sama ada anda masih boleh bermain di tahap tertinggi atau tidak. Itulah sedikit kebimbangan pemain mengenainya dan perlu berhati-hati.

"Kerana sesetengah pemain memberikan reaksi dengan amat baik tetapi Ilkay Gundogan memerlukan lebih masa untuk pulih selepas musim panas dan sedikit bergelut.

"Jadi, sebab itulah ia satu berita baik apabila mereka sudah kembali ke sesi latihan dan bilik persalinan.

"Tetapi apabila mereka dapat bermain selama beberapa minit, kami perlu mengadakan perbincangan dengan mereka dan doktor dan ahli fisioterapi tentang bagaimana mereka memberikan reaksi dalam sesi latihan dan sehari selepas itu. Kes setiap pemain berbeza dan anda perlu peka," katanya.

City tidak pernah tewas sepanjang 12 perlawanan terakhir dalam kesemua kejohanan dan berada di tangga kelima EPL.

Mereka mempunyai kelebihan dua perlawanan dalam tangan berbanding pendahulu, Liverpool, dan satu perlawanan berbanding Manchester United, yang mendahului mereka dengan empat mata.