Jack Grealish memohon maaf dan berasa "sangat malu" setelah mengabaikan perintah menghadkan pergerakan berikutan wabak koronavirus baru (Covid-19) dengan menghadiri sebuah pesta pada hujung minggu lalu.

Polis West Midlands datang menyiasat ke kawasan Dickens Heath di Solihull selepas mereka dihubungi yang menyaksikan dua kereta di ruang letak mengalami kerosakan kecil.

Berikutan kejadian itu, gambar ketua pasukan Aston Villa berkenaan di tempat kejadian mendapat perhatian di media sosial.

Padahal sehari sebelum itu, Grealish telah menggesa orang ramai supaya duduk di rumah sebelum pihak kerajaan menguatkuasakan kawalan pergerakan pada minggu lalu dan pemain itu juga telah menyatakan kekesalannya ekoran gagal mematuhi amarannya sendiri.

"Hai semua orang, saya hanya mahu menyampaikan mesej dalam video singkat ini untuk menyatakan betapa malunya saya tentang apa yang telah berlaku hujung minggu lalu," katanya dalam rakaman yang disiarkan di akaun Twitter peribadinya.


"Saya tahu ia adalah tempoh yang sukar buat semua orang pada masa ini yang terperap di dalam rumah sejak sekian lama.

"Saya mendapat panggilan daripada rakan yang meminta untuk ke sana. Saya bertindak bodoh dengan bersetuju berbuat demikian.

"Saya tidak mahu sesiapa pun mengulangi kesilapan sama jadi saya meminta semua orang supaya duduk di rumah. Patuhi peraturan dan garis panduan yang telah diminta.

"Saya harap semua orang boleh menerima permohonan maaf ini dan kita boleh abaikan kisah ini sambil berharap kita boleh kembali menikmati kehidupan dalam masa terdekat ini."

Villa menerusi satu kenyataan mengesahkan bahawa pemain licik itu akan didenda dan ia akan disalurkan ke hospital tempatan.