Phil Foden dan Mason Greenwood akan disiasat oleh Persatuan Bolasepak England (FA) selepas dua pemain itu mengingkari protokol koronavirus sewaktu tugasaan kebangsaan di Iceland.

Pemain tengah Manchester City, Foden, 20, dan penyerang Manchester United, Greenwood, 18, digugurkan daripada skuad The Three Lions itu menjelang pertemuan dengan Denmark dalam Liga Negara-Negara Eropah di Copenhagen awal pagi esok.

Kedua-dua pemain itu perlu ditinggalkan di Reykjavik -- di mana mereka melakukan penampilan pertama dalam pasukan senior England dengan kemenangan 1-0 hujung minggu lalu -- selepas sebuah laman web Iceland menerbitkan satu laporan yang mendedahkan Foden dan Greenwood kelihatan berada dalam video Snapchat seorang gadis yang dikatakan sedang bersosial dengan mereka.

Undang-Undang kuarantin di Iceland melarang sebarang kelakuan seperti itu dan pengurus England, Gareth Southgate, mengesahkan dua pemain berkenaan tidak dapat menyertai sesi latihan semalam dan tidak akan diturunkan ketika menentang Denmark.

Southgate mengadakan sidang media tidak lama selepas berita itu tersebar dan FA kini mengeluarkan satu kenyataan dan berjanji akan melakukan siasatan lebih terperinci berkenaan perkara itu.

"Ketika di Iceland, kedua-dua Phil Foden dan Mason Greenwood telah menghabiskan waktu mereka di luar kawasan khas kami, di mana ia telah melanggari undang-undang COVID-19 kami," kata jurucakap FA.

"Walaupun mereka tidak meninggalkan hotel pasukan, ia tetap satu pelanggaran protokol yang tidak boleh diterima. Kedua-dua mereka telah meminta maaf kerana kesilapan pertimbangan mereka yang amat serius.

"FA akan melakukan siasatan penuh mengenai keadaan yang mendorong kepada pelanggaran ini. Kami sudah berhubung dengan Persatuan Bolasepak Iceland untuk memohon maaf di atas insiden ini dan untuk meyakinkan mereka bahawa kami akan mengambil langkah yang sepatutnya.

"Kami juga telah memberi jaminan kepada Kesatuan Bolasepak Denmark bahawa semua pemain dan kakitangan lain telah diasingkan dalam kumpulan kami sepanjang tempoh ini.

"Keutamaan segera kami kini adalah untuk menyiapkan pasukan bagi perlawanan menentang Denmark esok," katanya.