Mateo Kovacic masih bergelut dengan pemulihan pahanya sekali gus dalam keraguan untuk tampil ketika Chelsea bertemu Real Madrid.

Pemain tengah itu diketepikan sejak The Blues menang 4-1 ke atas Crystal Palace pada 10 April lalu.

Dia kembali berlatih semalam dengan harapan akan cergas untuk pertembungan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan Fulham, tengah malam ini.

Begitupun, dia hampir pasti akan tersisih lagi dan ia meletakkannya dalam keraguan menjelang pertemuan separuh akhir kedua Liga Juara-Juara (UCL) yang menyaksikan wakil London itu memegang kelebihan gol di tempat lawan selepas seri 1-1 di Sepanyol.

Ditanya mengenai situasi Kovacic dalam sidang media pra-perlawanan, Thomas Tuchel berkata: "Dia masih tercedera, dia berlatih dengan kami, dia berasakan sesuatu yang tidak kena di akhir latihan jadi dia masih belum bersedia.

"Semua pemain lain ada kecuali Antonio Rudiger yang cedera pada minit-minit terakhir bertemu Madrid.

"Sebelum hari ini dan kembali berlatih, kami fikir Kova berpeluang besar untuk menyertai kami bertemu Madrid, jadi kami sedikit terjejas tapi ia bukan satu masalah yang besar.

"Saya tidak ingin bersikap terlalu negatif, mari kita lihat bagaimana keadaannya esok dan bagi Toni pula, saya cukup positif untuk menurunkannya Khamis depan."




Chelsea, yang terlepas tiga mata berharga ketika bertemu kelab di tempat kelima, West Ham, belum mahu menyerah kalah dalam perebutan slot empat teratas yang akan menjamin tiket ke Liga Juara-Juara (UCL) pada musim depan sambil menyasarkan untuk memenangi baki perlawanan musim ini.

Selepas bertemu Fulham, pasukan pakar taktikal dari Jerman itu akan berdepan Madrid dalam aksi timbal balik, kemudian menghadapi Manchester City dan Arsenal sebelum final Piala FA berdepan Leicester City pada 15 Mei depan.

Tuchel mengakui sukar untuk mendapatkan keseimbangan dalam pasukannya di celah kepadatan jadual sambil menambahkan: "Kami berada di pertengahan saingan, adakah akan ada jalan mudah untuk beralih daripada satu kejohanan ke kejohanan yang lain? Tidak, tetapi siapa yang peduli?

"Semua orang boleh melakukan sesuatu yang mudah. ​​Ini tugas kami untuk beralih fokus dan peranan saya pula adalah untuk mendapatkan keseimbangan, meletakkan pemain dalam fikiran yang betul dan bersedia menghadapi perlawanan ini dengan cara yang semua orang dapat memahami kepentingan sesuatu perlawanan.

"Kami tidak perlu bekerja sekeras dan saya harap pemain berasakan hal yang sama, mereka tidak bekerja keras sepanjang minggu ini.

"Perlawanan terdahulu memberikan kami kelebihan ini tetapi kami tidak rela membiarkannya terlepas dari genggaman gara-gara tidak memberi fokus."