Dani Ceballos mengakui menghadapi masa depan yang tidak menentu di Arsenal sambil menanam impian untuk menjadi tonggak penting buat pasukan barunya.

Pemain tengah Sepanyol itu dipinjamkan daripada Real Madrid untuk bersama The Gunners menerusi perjanjian yang akan berakhir pada 30 Jun depan.

Dengan hampir semua bola sepak Eropah digantung akibat wabak koronavirus baru (Covid-19), masih belum dapat ditentukan hala tuju musim ini dan apakah situasi pemain seperti Ceballos sekiranya saingan memasuki Julai.

Ceballos menempuhi prestasi turun naik di Arsenal kerana kecederaan, tetapi mula serasi dengan corak permainan yang diterapkan Mikel Arteta sebelum Liga Perdana Inggeris (EPL) ditangguhkan.


Sehubungan itu, pemain berusia 23 tahun tersebut tidak pasti bagaimana keadaan akan berlaku.

"Kontrak saya akan berakhir pada 30 Jun depan tetapi saya perlu terus beraksi untuk Arsenal (jika saingan kembali bersambung). Saya tidak pasti bagaimana (akan beraksi kerana secara teknikal tempoh pinjamannya sudah berakhir)," katanya kepada El Chiringuito de Jugones.

"Ia akan menjadi sesuatu perkara yang tidak bertanggungjawab untuk saya bercakap tentang masa depan. Perkara yang paling mustahak adalah menjadi nadi buat pasukan baru saya kelak.

"Saya datang ke Arsenal untuk menjadi pemain penting tetapi bulan lalu, semuanya hilang (kerana koronavirus)."

Januari lalu, Valencia dilaporkan berminat untuk meminjam Ceballos yang turut dikaitkan dengan Sevilla meskipun ia bukan perpindahan popular memandangkan dia pernah mewakili seteru ketat, Real Betis.

"Saya menyedari minat daripada Valencia yang berusaha mendapatkan khidmat saya, begitu juga Sevilla dan Betis" katanya.

"Mungkin ada hikmahnya apabila dikaitkan dengan pasukan ini .Ini kerana saya peminat tegar Betis dan sukar untuk saya mewakili Sevilla.

"Saya hanya akan bermain untuk Betis, pasukan yang telah memberi peluang kepada saya untuk menjadi pemain bola sepak.

"Saya langsung tidak berunding dengan Julen Lopetegui (pengurus) demi menyertai Sevilla."