Bapa kepada Edinson Cavani mendakwa bahawa anak lelakinya itu tidak gembira di Manchester United dan mahu meninggalkan pasukan itu hujung musim ini dengan Boca Juniors akan menjadi destinasi pilihannya.

Pemain kebangsaan Uruguay itu terbukti sebagai pemain baru paling menyerlah dalam skuad Ole Gunnar Solskjaer berkenaan musim ini selepas menghasilkan tujuh gol dan dua bantuan jaringan daripada 25 penampilannya dalam kesemua kejohanan.

Solskjaer berkata pemain berusia 34 tahun itu mungkin akan melanjutkan tempohnya di Old Trafford tetapi bapa Cavani, Luis, berkata kepada TyC Sports bahawa kepulangan ke Amerika Selatan akan menjadi pilihan anaknya.

"Anak saya tidak gembira di England dan dia mahu kembali untuk berada dekat dengan keluarganya. Dia mahu bermain di Amerika Selatan.

"Saya mahu Edinson bermain untuk pasukan yang bersaing merebut trofi penting. Dia sudah banyak berbincang dengan (Naib Presiden Boca, Juan Roman) Riquelme dan mahu bermain untuk Boca.

"Pada pertengahan tahun ini, dia mahu pulang ke Amerika Selatan. Anak saya tidak mahu meneruskannya di sana (Manchester). Dia mahu kembali ke sini.

"Saya rasa dia akan kembali pada Jun tahun ini," katanya.