Bruno Fernandes menjadi pemain ketujuh dipilih sebagai Pemain Terbaik Bulanan Liga Perdana Inggeris (EPL) sebanyak dua kali berturut-turut.

Hanya Mohamed Salah, Jamie Vardy, Harry Kane, Cristiano Ronaldo, Dennis Bergkamp dan Robbie Fowler pernah melakukan perkara sama sebelum ini.

Pemain tengah Manchester United itu, yang tiba daripada Sporting CP pada Januari lalu, melakukan permulaan gemilang dalam EPL dengan memenangi kedua-dua anugerah itu dalam dua bulan pertamanya.

Fernandes meraih anugerah itu pada Februari lalu selepas memulakan bulan pertamanya di Old Trafford dengan cemerlang sebelum meneruskan perkara sama Mac lalu.

Dia meneruskan aksi memukaunya sebaik EPL bersambung bulan lalu -- selepas direhatkan berikutan pandemik Covid-19 -- dan prestasinya sepanjang Mac dan bulan lalu diambil kira dalam anugerah terbaru itu.

Dalam lima perlawanan United sepanjang dua bulan itu, Fernandes telah menjaringkan empat gol dan menghasilkan satu bantuan jaringan.

Pemain kebangsaan Portugal itu membantu United menterbalikkan nasib mereka dengan skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu tidak pernah tewas dalam 15 perlawananan sejak ketibaannya daripada Sporting.

Fernandes menewaskan Conor Coady, Danny Ings, Raul Jimenez, Allan Saint-Maximin dan rakan sepasukannya di United, Anthony Martial, untuk menggondol anugerah bulan Jun selain turut memenangi Anugerah Gol Terbaik Bulanan EPL.

Gol itu merupakan jaringan keduanya ketika United menewaskan Brighton and Hove Albion pada 30 Jun lalu, di mana dia melakukan voli daripada hantaran lintang tepat Mason Greenwood berpunca daripada satu serangan balas pantas.