Pep Guardiola menegaskan bahawa Bayern Munich dan Liverpool masih menjadi penanda aras buat pasukannya, Manchester City, walaupun mereka kini semakin menunjukkan dominasi.

City memegang kelebihan 12 mata dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) menjelang perlawanan menentang Wolves di laman sendiri awal pagi esok -- mereka akan memburu rekod 21 kemenangan berturut-turut dalam kesemua kejohanan menjelang pertemuan itu.

Ia membuatkan mereka semakin hampir untuk menyamai rekod 23 kemenangan berturut-turut milik Bayern -- ketika meraih gelaran 'treble' musim lalu -- berdasarkan lima liga utama Eropah.

Sepanjang tempoh itu, skuad bimbingan Guardiola berkenaan turut menewaskan Liverpool 4-1 ketika masalah kecederaan mengganggu pasukan kendalian Jurglen Klopp itu mempertahankan gelaran mereka.

Selepas menewaskan West Ham 2-1 Sabtu lalu, pengurus The Hammers, David Moyes, melabel City sebagai pasukan terbaik di Eropah tetapi Guardiola menegaskan bahawa tiada apa untuk dibanggakan ole pasukannya seandainya mereka gagal menjulang sebarang trofi utama pada penghujung musim ini.

"Pasukan terbaik di Eropah dan di dunia adalah Bayern Munich kerana mereka telah memenangi segala-galanya. Mereka pasukan terbaik.

"Di England, juaranya adalah Liverpool, mereka pasukan terbaik. Jika anda mahu mengambil mahkota mereka, anda perlu menang.

"Di bulan Mac ini, tiada siapa juara. Anda perlu melakukannya dengan baik dan mencuba dan menang tetapi kami tidak boleh menafikan bahawa sepanjang dua setengah bulan ini amat luar biasa.

"Apabila kami bermain dengan baik, kami menang dengan selesa tetapi apabila kami tidak bermain dengan cukup baik, kami masih mampu mendapatkan mata," katanya.