Gareth Bale kelihatan gembira dan lebih yakin bersama Tottenham, menurut pengurus, Jose Mourinho.

Pemain kebangsaan Wales, Bale, menyerlah dalam tiga penampilan bersama Spurs, menghasilkan dua jaringan dan dua assist.

Persembahan itu, dalam dua aksi pusingan 32 Liga Europa bertemu Wolfsberger yang berkesudahan menang agregat 8-1 dan kekalahan Liga Perdana Inggeris (EPL) kepada West Ham, terhasil selepas permulaan yang hambar apabila dipinjamkan dari Real Madrid.

Bale bergelut menemui rentak dan kecergasan yang terbaik, kehilangan tempat dalam skuad utama Mourinho.

Terdapat spekulasi yang menyatakan Bale bekermungkinan melanjutkan tempoh pinjaman bagi musim kedua.

Selepas kelihatan kembali cemerlang, Mourinho menawarkan perkembangan positif menjelang pertemuan dengan Burnley di laman sendiri.

"Bahagian mental selalu menjadi kesan daripada tahap kecergasan fizikal," jelas Mourinho.

"Sekiranya pemain berasa baik, jika dia berlatih 100 peratus, jika perasaannya sangat baik maka tidak ada masalah, ketakutan atau halangan secara psikologi.

"Apabila anda berdepan isu remeh dan mempunyai sejarah kecederaan baru-baru ini, ia adalah sesuatu perkara biasa, tedapat akibat yang perlu ditanggung.

"Tetapi akhir-akhir ini, dia bermain dengan baik, hanya persoalan berapa minit dia boleh bermain, berapa hari dia perlu pulih di antara perlawanan.

"Dia kelihatan gembira, yakin. Dalam latihan anda dapat melihat dia kembali yakin. Cara dia melepaskan rembatan dalam perlawanan sebelum ini, ia merupakan percubaan yang penuh dengan keyakinan.

"Pemain yang bimbang jika ototnya akan cedera dengan percubaan tersebut, ia sungguh bermakna buat Bale. Ia memberikan kebebasan buat pemain di atas padang."