Gareth Bale tidak pasti sama ada dia mampu untuk mencapai tahap ketekalan seperti waktu pertamanya bersama Tottenham walaupun kini semakin gembira dengan rekod jaringannya.

Bale telah menghasilkan enam gol dan tiga bantuan jaringan sepanjang enam penampilan terakhirnya dalam kesemua kejohanan, hanya beraksi selama 70 minit atau kurang dalam setiap penampilan itu.

Menjelang rekod cemerlang itu, pemain sayap pinjaman daripada Real Madrid berkenaan hanya menjaringkan empat gol dan gagal mendaftarkan sebarang bantuan jaringan dalam 16 perlawanan.

Dua gol terbaru Bale itu tiba ketika pasukannya menewaskan Crystal Palace 4-1 dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi, di mana dia turut melakukan empat hantaran penting dalam aksi terbaik dipamerkannya itu.

Tetapi ketika ditanya sama ada dia mampu mengulangi pencapaian terlibat menghasilkan 37 gol dalam 44 perlawanan musim 2012-13, yang mana turut membuka ruang untuk dia menyertai Real Madrid, pemain berusia 31 tahun itu masih tidak pasti.

"Hanya waktu akan menjawabnya," kata Bale kepada Sky Sports.

"Saya bukan lagi berusia 21 tahun. Itulah keadaannya.

"Saya hanya akan terus berusaha keras dalam setiap perlawanan, mengambil setiap perlawanan apabila tiba waktunya dan kami akan melaluinya dengan carai itu.

"Tubuh anda akan sentiasa berubah. Anda tidak akan kekal seperti waktu remaja di mana anda dapat pulih dengan segera dan terus berlari sepanjang 90 minit.

"Anda sedar tubuh anda semakin tua dan itulah yang saya perlu lakukan," katanya.

Dia menambah: "Saya berasa amat baik. Ia adakalanya memerlukan masa tetapi saya cukup berpengalaman untuk terus bersabar. Itulah keadaannya.

"Anda peru berasa baik, dan anda perlu berasa baik ketika mengambil peluang terhidang.

"Bola sepak perkara yang pelik; anda akan melalui prestasi yang buruk dan baik. Ia tentang terus bersabar dan apabila anda memperoleh peluang, cubalah untuk mengambilnya," tambahnya.

Harry Kane kemudian menjaringkan dua lagi gol buat Tottenham selepas membantu dua jaringan Bale.

Dia menjadi pemain Spurs pertama menjaringkan sekurang-kurangnya dua gol dan menghasilkan sekurang-kurangnya dua bantuan jaringan dalam satu perlawanan EPL sejak Jurgen Klinsmann melakukannya pada 1998.