Pierre-Emerick Aubameyang kelihatan seperti sudah membuat keputusan untuk meninggalkan Arsenal, kata legenda Manchester United, Rio Ferdinand.

Selepas menyerlah ketika membantu Arsenal menewaskan Manchester City dalam separuh akhir, penyerang kebangsaan Gabon itu menjaringkan kedua-dua gol ketika skuad the Gunners itu bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Chelsea 2-1 dalam final Piala FA di Wembley awal pagi tadi.

Ia menjadi penutup musim terbaik buat kapten Arsenal itu, yang telah menjaringkan 29 gol dalam kesemua kejohanan musim ini dan membuktikan dirinya masih penyerang prolifik sejak tiba daripada Borussia Dortmund pada Januari 2018.

Status masa depan Aubameyang masih menjadi perdebatan memandangkan kontraknya hanya berbaki 12 bulan, dengan skuad The Gunners itu gagal menyertai Liga Juara-Juara Eropah musim depan, walaupun kemenangan dalam final itu memberikan mereka slot automatik ke Liga Europa.

Dalam satu temu bual di atas padang selepas menjulang trofi, Aubameyang, 31, menegaskan bahawa dia tidak mempunyai apa-apa untuk diperkatakan ketika diminta untuk menjelaskan mengenai masa depannya.

Ferdinand berasakan bahawa implikasinya sudah jelas.

"Ia bermakna dia akan pergi (meninggalkan Arsenal)," kata bekas pertahanan Manchester United dan England itu kepada BT Sport selepas Arsenal menjulang trofi Piala FA buat kali ke-14.

"(Dia berkata) 'saya mahu menikmati momen ini bersama rakan sepasukan dan tidak mahu bercakap mengenai masa depan saya'.

"Bagi saya, ia kedengaran seperti masih tiada lagi perbincangan mengenainya sehingga hari ini, di mana saya tidak percaya ia terjadi, atau dia sudah memutuskan bahawa dia akan pergi.

"Saya hanya bercakap berdasarkan perspektif saya. Jika saya komited terhadap kelab dan mahu kekal, inilah masanya untuk saya menyelesaikannya (dan berkata) 'Ia masih belum selesai tetapi saya akan menyelesaikannya di sini kawan-kawan'.

"Dia tidak akan berterima kasih kepada saya kerana memperkatakan seperti ini tetapi dia kedengaran seperti seseorang yang sudah bersedia untuk ke tempat lain.

"Arsenal perlu melakukan segala yang termampu untuk mengekalkan pemain sepertinya -- 70 gol daripada 109 perlawanan sudah membuktikan segala-galanya.

"Dan caranya menyudahkannya (gol kedua ke atas Chelsea), oh Tuhan, ia luar biasa," katanya.