Mikel Arteta tidak memberikan jaminan bahawa Pierre-Emerick Aubameyang dapat diturunkan dalam perlawan Arsenal menentang Manchester United hujung minggu ini.

Penyerang itu meninggalkan kelab berkenaan beberapa jam sebelum mereka tewas kepada Southampton dalam Piala FA hujung minggu lalu -- dikatakan atas sebab masalah peribadi.

Aubameyang mendedahkan kelmarin bahawa ibunya sedang mengalami "masalah jantung" dan dia perlu berada di samping ibunya.

Dia turut berkata mahu kembali menjalankan tugas buat Arenal tetapi tidak tahu bila masalahnya dapat diselesaikan.

Pengurus Arsenal, Arteta, tidak dapat memberikan jawapan konkrit ketika ditanya sama ada Aubameyang telah ke luar negara untuk bersama ibunya atau tidak.

Jika dia sudah ke luar negara, ia bermakna dia perlu menjalani kuarantin dan perlu menunggu untuk kembali bersama kelab itu.

Mengenai peluang pemain kebangsaan Gabon itu beraksi hujung minggu ini, Arteta berkata: "Saya tidak tahu. Saya sudah bercakap dengannya semalam, segalanya kelihatan semakin baik buat masa ini tetapi kita perlu menunggu dan lihat.

"Dia kapten kami dan salah seorang pemain paling penting. Kami sedang melakukan segala-galanya agar dia dapat kembali bersama kami secepat mungkin tetapi kami faham dia sedang melalui hari-hari yang sukar, di mana dia perlu berada bersama keluarganya dan kami di sini sentiasa menyokongnya dan memberikannya masa untuk menyelesaikan masalahnya."

Ketika ditanya sama ada Aubameyang sudah meninggalkan United Kingdom (UK) untuk bersama ibunya, Arteta berkata: "Dia perlu memberikan sokongan buat keluarganya dan dia perlu bersama mereka."

Ditekan dengan soalan sama ada pemain itu perlu menjalani kuarantin atau tidak, dia menambah: "Saya tidak tahu apa yang sedang berlaku."