Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, tidak menjangkakan sebarang perpindahan utama dilakukan dalam bulan ini.

Selepas The Gunners menghabiskan sekitar GBP136 juta (RM726 juta) dalam jendela perpindahan sebelum ini susulan kehadiran Nicolas Pepe, Kieran Tierney, David Luiz, Gabriel Martinelli dan William Saliba, wujud dakwaan mereka tidak akan berbelanja besar bulan ini.

Laporan di Sepanyol mengaitkan mereka dengan penggempur Paris Saint-Germain (PSG), Edinson Cavani, serta pemain Barcelona, Samuel Umtiti, sambil bek tengah RB Leipzig, Dayot Upamecano, turut menjadi sasaran.

Minggu lalu, Arteta berpendapat Arsenal mungkin cuba mendapatkan pertahanan untuk menggantikan Calum Chambers yang dijangka terlepas baki musim ini akibat kecederaan lutut.

Namun, ketika sidang media menjelang kunjungan ke Crystal Palace bagi aksi Liga Perdana Inggeris, pengendali itu berkata tidak banyak nama baru akan tiba sebelum musim depan.

"Saya tidak harapkan sesuatu yang besar," katanya.

"Saya mengharapkan pemain dapat mengharungi baki musim dengan lebih seimbang. Kami sentiasa melihatnya kerana sesetengah isu kecederaan."

Masa depan kapten, Pierre-Emerick Aubameyang, menjadi perhatian kebelakangan ini walaupun dia menegaskan akan komited dengan kelab itu sebelum menundukkan Leeds United dalam saingan Piala FA, Isnin lalu.

"Saya teruja apabila membaca semua komen yang ada," kata Arteta.

"Dia tahu apa yang saya fikirkan dan jelas sekali Aubameyang merupakan pemain hebat kami. Namun, ketika ini, kami di pertengahan musim dan masih belum berbincang mengenai rancangan akan datang.

"Hasrat saya mahu mengekalkan Aubameyang, itu jelas sekali kerana saya tahu jika kami memastikan dia bersama kami, Arsenal akan lebih kuat dan semakin hampir meraih kemenangan."

"Perkara pertama yang mahu saya ubah adalah tenaga di sekeliling pasukan," tambahnya.

"Saya rasa ia kini lebih baik berbanding sebelum ini.

"Jelas sekali kemenangan yang kami raih membantu pasukan dan apa yang saya lihat dalam sesi latihan hampir sama dengan apa yang mahu saya saksikan."



Editor: Nafis Abdullah