Mikel Arteta berharap Frank Lampard akan terus diberikan masa di Chelsea ketika barisan pengurus kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) kini sedang menghadapi waktu mencabar berikutan pandemik koronavirus.

Chelsea melonjak ke tangga teratas EPL selepas menewaskan Leeds United 3-1 pada Disember lalu tetapi hanya mengumpulkan tujuh mata daripada lapan perlawanan selepas itu.

Rekod buruk itu turut disertai dengan kekalahan 1-3 kepada pasukan kendalian Arteta, Arsenal, pada Hari Boxing -- kemenangan yang menamatkan kemarau kemenangan skuad The Gunners itu dalam tujuh perlawanan liga.

Lampard menegaskan semalam bahawa dia tidak mengambil endah terhadap spekulasi mengenai masa depannya di Stamford Bridge dan dia kini menerima sokongan daripada seorang pengurus pasukan seteru mereka di London.

"Saya sudah mengenali Lampard selama bertahun-tahun dan saya ada meluangkan masa bersamanya," kata Arteta kepada media.

"Saya lebih gemar jika mereka (Chelsea) menyokong dan memberikannya peluang. Dia mempunyai pengalaman yang besar sebagai pemain, dia merupakan ikon di sana.

"Dia telah melakukan beberapa perkara yang amat baik tetapi anda memerlukan masa dan jika kita tidak mendapat sesuatu dalam kalendar tahun ini, ia masanya untuk mula mengusahakan apa-apa sahaja," katanya.

Juara bertahan, Arsenal, akan menghadapi Southampton dalam saingan Piala FA di gelanggang lawan malam ini.

Kesemua empat pertemuan di antara kedua-dua pasukan itu dalam kejohanan berkenaan di menangi The Gunners dan Southampton hanya menang sekali daripada sembilan pertemuan terakhir dengan Arsenal dalam kesemua kejohanan.