Mikel Arteta positif Arsenal akan dapat mengekalkan khidmat Pierre-Emerick Aubameyang untuk tempoh yang lama selepas meraih gol ke-50 peribadi dalam Liga Perdana Inggeris buat The Gunners.

Aubameyang mencuri bola daripada penjaga gol Norwich City, Tim Krul, untuk mencatat jaringan ke-50 peribadi di pentas tertinggi England dan Arsenal meraih kemenangan 4-0, awal pagi tadi.

Bintang Gabon itu merupakan pemain terpantas Arsenal yang meraih pencapaian sebegitu.

Dia membantu Granit Xhaka menjadikan kedudukan 2-0 sebelum menambah jaringan peribadi dalam babak kedua sambil Cedric Soares melengkapkan kemenangan bergaya The Gunners.

Kontrak Aubameyang bakal tamat penghujung musim depan dan selepas perlawanan itu, dia memberitahu BT Sport: "Kami berbincang dengan kelab dan lihat apa akan berlaku.

"Saya fokus terhadap perlawanan. Sejak Arteta ada di sini, kami melakukannya dengan baik. Kami bekerjasama dengan bagus dan menunjukkan peningkatan positif."

Sewaktu ditanya mengenai jumlah gol yang mampu diraih Aubameyang bersama Arsenal, Arteta berkata: "Diharapkan ia mencapai 100 gol. Saya tidak tahu, saya bukan ahli silap mata.

"Apa yang dia raih pada hari ini merupakan catatan terpantas untuk kelab ini. Ia membuktikan mentaliti dan cara dia berusaha setiap hari, cuba membantu pasukan dan keinginan untuk menjadi pemain lebih baik. Diharapkan kami dapat mengekalkannya lebih lama.

"Dia sedia untuk kekal bersama kami. Saya fikir dia gembira dan Aubameyang dapat lihat apa yang cuba kami lakukan.

"Diharapkan dia memperkembangkan permainannya untuk meningkat. Kami sentiasa memberi dorongan kepadanya."