Mikel Arteta melabel kritikan ke atas Willian sebagai sesuatu yang normal selepas pemain kebangsaan Brazil itu dikritik hebat oleh legenda Arsenal, Tony Adams.

Willian melakukan 18 penampilan Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak menyertai The Gunners daripada Chelsea secara percuma tetapi bergelut untuk mempamerkan prestasi terbaiknya dan masih gagal menjaringkan sebarang gol buat Arsenal.

Sebaliknya, pemain berusia 19 tahun, Bukayo Saka, telah menjaringkan lima gol daripada 21 penampilan liga musim ini manakala pemain berusia 20 tahun, Emile Smith Rowe, mempamerkan aksi memukau di bahagian tengah -- situasi yang mendorong Adams untuk mempertikaikan keputusan kelab itu membawa masuk Willian selain pemain yang baru didatangkan ke kelab itu bulan lalu, Martin Odegaard.

Arteta mengakui terdapat tekanan untuk Willian beraksi baik sambil berkata mengenai kritikan itu: "Saya tidak kata ia sesuatu yang tidak adil.

"Jangkaan terhadap Willian dan gol yang boleh dijaringkannya, bantuan yang boleh dihasilkannya. Ia normal untuk orang menulis mengenai dirinya.

"Kami perlu melindunginya semampu yang kami boleh," katanya.


Adams turut mengkiritk Odegaard dengan berkata kelab EPL itu tidak perlu membawa masuk perancang Norway berkenaan, terutama selepas ketibaan pemain seperti Smith Rowe.

Bagaimanapun, Arteta mempertahankan pemilihan pemain berusia 22 tahun daripada Real Madrid itu untuk berjaya sepanjang tempoh pinjamannya.

Dia menambah: "Dia mempunyai potensi (untuk menjadi pemain terbaik) kerana dia telah membuktikannya.

"Saya mengikutinya secara dekat sejak dia berada di Real Sociedad dan dia amat menarik sepanjang waktu ini. Kerana itu saya amat yakin dia boleh menjadi pemain kami."

Arsenal akan berdepan Benfica dalam pusingan 32 Liga Europa di mana kejuaraan itu merupakan peluang terbaik mereka untuk layak ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan.

Kedua-dua perlawanan timbal balik itu akan berlangsung di gelanggang berkecuali gara-gara larangan perjalanan berikutan pandemik COVID-19 dan ia bermakna Arsenal akan berkunjung ke Rome bagi perlawanan 'tempat lawan' awal pagi esok.