Mikel Arteta mengkritik kesilapan berulang Arsenal selepas tewas 0-1 kepada Aston Villa dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) malam tadi.

Rekod tujuh perlawanan liga tanpa kalah skuad The Gunners itu akhirnya tamat kepada Wolves, Rabu lalu ketika David Luiz dan Bernd Leno diarahkan keluar padang dalam perlawanan itu.

Dan satu lagi kekalahan perlu diterima pasukan itu apabila Cedrid Soares menghadiahkan jaringan tunggal perlawanan berkenaan kepada Ollie Watkins untuk Villa memperoleh kemenangan di laman sendiri.

Kesilapan yang dilakukan Cedric itu merupakan satu-satunya kesilapan yang dilakukannya sepanjang perlawanan itu tetapi ia terbukti sesuatu yang merugikan.

Arsenal memegang 66.3 peratus penguasaan bola dan 14 percubaan berbanding Villa dengan 12 percubaan tetapi mereka hanya mampu merekodkan tiga percubaan tepat dan berdasarkan data Opta, pasukan pelawat itu hanya mencipta satu peluang jaringan.

Arteta berkata kepada BBC Sport bahawa Arsenal telah "mengawal seluruh bahagian" tetapi Villa "lebih baik di dalam kotak".

Dalam sidang media selepas perlawanan, pengurus Arsenal itu meluahkan rasa tidak senangnya dengan aksi bercelaru pasukannya -- termasuk rekod tertinggi lima kad merah sepanjang musim ini.

"Pasukan (terbaik) tidak boleh melakukan kesilapan seperti itu. Pasukan seperti itu tidak boleh bermain dalam 22 perlawanan pertama musim ini, empat atau lima perlawanan dengan 10 pemain.

"Ia tidak akan berlaku. Ini bukanlah pasukan di dunia yang mampu menghadapinya.

"Sekiranya anda melakukan kesilapan dan dibolosi pada awal permainan, pasukan anda perlu memberikan reaksi dan kami mempunyai lebih daripada cukup masa untuk kembali memenangi perlawanan ini.

"Jika anda tidak lakukan yang satu itu (bertahan daripada dibolosi), anda perlu lakukan yang satu lagi (menjaringkan gol).

"Jika anda tidak dapat melakukan salah satu daripadanya ketika anda berpeluang dan anda tidak cukup bagus dalam kotak penalti lawan, malangnya anda akan tewas perlawanan itu," katanya.