Ketua jurulatih Arsenal, Mikel Arteta, gembira apabila penyokong Tottenham akan dibenarkan untuk menghadiri perlawanan 'derby' London dan tidak berasakan ia sebagai sesuatu yang tidak adil buat pasukan pelawat.

The Gunners akan berkunjung ke Stadium Tottenham Hotspur awal pagi Isnin ini menjelang perlawanan yang akan dihadiri 2,000 penyokong pasukan lawan itu -- Kerajaan British minggu ini membenarkan penyokong kembali ke stadium dengan kehadiran yang dihadkan di sebahagian tempat dalam negara itu.

Penonton tidak dibenarkan menghadiri perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak Mac lalu berikutan pandemik COVID-19 dan kehadiran penyokong pasukan lawan masih tidak dibenarkan dan perlawanan di sebahagian besar negara itu masih dijalankan secara tertutup -- bergantung kepada tahap jangkitan di kawasan itu.

Kebenaran terbaru itu mencetuskan perdebatan dengan kebanyakan penyokong berasakan keputusan itu sepatutnya merangkumi seluruh negara itu.

Ia sudah pasti akan memberikan suntikan semangat buat Spurs dalam usaha mereka melebarkan rekod enam perlawanan tanpa kalah mereka ke atas The Gunners dalam saingan liga di laman sendiri manakala pengurus mereka, Jose Mourinho, pula sedang memburu rekod sebagai pengendali pertama memenangi dua perlawanan 'derby' pertama sejak musim 1995-96.

Impak yang akan dibawa penyokong itu turut diakui Arteta dengan berkata: "Anda akan menerima jeritan setiap kali mendapat bola. Setiap penyokong melihat bola itu, berharap ia akan menuju ke arah pemain mereka, anda berasakan tenaga itu.

"Dan sebagai pemain anda tidak boleh menafikannya, apabila anda tersentuh dan dapat rasa keberadaan penyokong anda dan bermain dengan keamatan seperti itu dan apabila perlawanan mempunyai makna seperti itu, ia akan menjadi satu pemangkin yang besar. Perlawanan derby tanpa penyokong pasti tidak sama."

Tetapi Arteta tidak mengulas panjang ketika ditanya adakah ia sesuatu yang tidak adil tanpa kehadiran penyokong Arsenal dengan menambah: "Ya, tetapi kami sudah lama menantikannya, kami tidak akan merungut.

"Sejujurnya, saya mahu bermain di stadium dengan suasana, dengan sebahagian penyokong, buat masa ini mereka akan bersama penyokong mereka dan minggu depan pula giliran kami. Kami mahu membawa masuk lebih ramai penyokong apabila keadaan selamat," katanya.