ARSENAL 1 FULHAM 1

Mikel Arteta menegaskan bahawa dia tidak tahu apa-apa mengenai penglibatan Arsenal dalam Liga Super Eropah.


Laporan mengatakan setakat ini 12 kelab termasuk enam pasukan gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) bersedia untuk mengumumkan penganjuran satu kejohanan baru dalam kalangan kelab utama benua itu.

Manchester United, Manchester City, Liverpool, Tottenham, Chelsea dan Arsenal dikatakan telah bersepakat dengan kelab dari Itali dan Sepanyol untuk menyokong perancangan itu.

Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) mengeluarkan amaran keras apabila dengan jelas mengecam cadangan itu sambil berikrar akan melakukan segala yang terdaya untuk menyekat sebarang langkah untuk menjayakannya menerusi dokumen sokongan yang ditandatangani bersama oleh Persekutuan Bola Sepak Diraja (RFEF); LaLiga, Persatuan Bola Sepak Inggeris (FA), Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC) dan Serie A.

Badan pentadbir bola sepak Eropah juga mengulangi amaran itu apabila akan bertindak melarang kelab daripada mengambil bahagian dalam kejohanan lain.

Malah, menyarankan Persekutan Bola Sepak Dunia (FIFA) melarang pemain daripada menyertai Piala Dunia sekiranya mereka tampil dalam Liga Super.

Selain badan induk itu, rancangan berkenaan turut menerima kecaman meluas, namun Arteta belum bersedia menyatakan pendiriannya untuk menolak.


Mikel Arteta menegaskan bahawa dia tidak tahu apa-apa mengenai penglibatan Arsenal dalam Liga Super Eropah.



Bercakap selepas Arsenal, yang menghuni tempat kesembilan, diikat 1-1 dengan pasukan yang diancam penyingkiran, Fulham, sebentar tadi, pengurus dari Sepanyol tersebut berkata: "Saya tidak tahu apa-apa mengenainya.

"Saya tidak tahu. Sebaik saya mengetahui setiap perincian dan mempunyai kesemua maklumat mengenainya, barulah saya boleh menilai dan melontarkan pendapat."

Presiden Real Madrid, Florentino Perez, dikhabarkan akan memimpin liga baru itu sementara pemilik Liverpool, United dan Arsenal dilaporkan akan memainkan peranan sebagai naib ketua.



Kelab-kelab yang terbabit dijangka akan membuat pengumuman rasmi sedikit masa lagi.

Legenda The Red Devils, Gary Neville, mengutuk langkah itu dengan mencadangkan sekiranya kelab terbabit mengumumkan hasrat mereka secara rasmi, mereka haruslah diberi hukuman berat termasuk dipotong mata, gelaran dirampas.