Pengendali Arsenal, Mikel Arteta, berharap beliau mampu memujuk Pierre-Emerick Aubameyang kekal bersama kelab selepas penyerang itu menjaringkan dua gol ketika meraih kemenangan 3-2 ke atas Everton.

Bekas penyerang Borussia Dortmund itu kini berusia 30 tahun dan telah dikaitkan dengan kelab lain, termasuk Inter dan Barcelona, ketika melewati tahun terakhir kontraknya.

Dengan peluang Arsenal untuk layak ke Liga Juara-Juara (UCL) semakin tipis, tidak hairan jika Aubameyang akan mempersoalkan di mana dia bakal berhijrah musim panas ini.

Tetapi The Gunners melihat dirinya sebahagian daripada masa depan mereka, dan dua jaringan klinikalnya ke atas Everton membuktikan nilainya kepada kelab, menurut Arteta.

"Dia pemain paling penting di Arsenal," kata Arteta kepada Sky Sports News. "Berdasarkan statistik, Aubameyang telah menghadirkan impak kepada pasukan, kami akan berusaha untuk memujuknya kekal bersama kami."

Arteta memuji semangat pasukannya selepas meraih tiga kemenangan berturut-turut, mengatasi Newcastle United 4-0 sebelum meraih kemenangan 1-0 ke atas Olympiacos Jumaat lalu dalam saingan Liga Europa.

Jaringan Aubameyang selepas 24 saat perlawanan bersambung memastikan perlawanan menjadi milik Arsenal.
"Perkara paling penting adalah kami menonjolkan semangat dalam perlawanan ini, berusaha untuk kembali ke pentas Eropah," kata Arteta lagi.

"Cara kami bermain untuk 60-65 minit pertama adalah seperti apa yang kami rancangkan. Jika dapat meneruskan momentum ini, Arsenal mampu mencapai sesuatu musim ini."