LIVERPOOL 2 ASTON VILLA 1

Jurgen Klopp tidak mahu lagi meneruskan perdebatan sama ada Trent Alexander-Arnold layak menganggotai skuad England ke Euro 2020 atau tidak selepas pertahanan kanan itu kembali menjadi tajuk utama.


Alexander-Arnold dipinggirkan secara kontroversi daripada skuad Three Lions terbaru bimbingan Gareth Southgate bulan lalu sebelum barisan pemain kejohanan benua itu dinamakan.

Pengurus Liverpool, Klopp, mempertahankan anak buahnya itu sambil mengatakan prestasi Alexander-Arnold -- dipersoalkan secara meluas musim ini -- tidak boleh dijadikan alasan namanya tercicir.

Pemain berusia 22 tahun itu kemudian memainkan peranan besar di Arsenal dengan menghulurkan bantuan jaringannya untuk kemenangan 3-0.

Tetapi kesilapannya memberi ruang kepada Marco Asensio untuk gol kedua daripada tiga gol Real Madrid dalam Liga Juara-Juara (UCL) pada pertengahan minggu lalu.

Kembali dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) tengah malam tadi, Alexander-Arnold sekali lagi menjadi topik perbincangan.

Rembatan kencangnya pada minit ke-91 menghadiahkan kemenangan 2-1 ke atas Aston Villa, kejayaan pertama The Reds di Anfield pada 2021.

Produk akademi itu menulis di Twitter: "Adakah anda tidak terhibur!?"




Alexander-Arnold membuat sentuhan tertinggi, 102, dan tiada rakan sepasukan yang mencipta lebih banyak peluang berbandingnya, malah dia antara tiga pemain yang membuat terjahan tertinggi.

Keseimbangan di antara jentera serangan dan pertahanan telah dikenal pasti menjadi kunci kejayaan dan buat julung kalinya musim ini, Alexander-Arnold menjadi arkitek kepada tiga peluang dan tiga terjahan berharga dalam satu perlawanan.

Justeru, Klopp berharap topik perbualan mengenainya akhirnya berubah.

"Dia mahu berada dalam skuad [England] jadi kami tidak perlu terlalu banyak bercakap mengenainya," katanya.

"Dia adalah pemain yang hebat.

"Saya rasa Gareth bersetuju bahawa dia adalah pemain yang sangat hebat maka ada pengurus yang harus membuat keputusan.

"Saya sangat menghormati keputusannya itu. Begitu juga dengan Trent.

"Untuk berada dalam skuad England, anda perlu mempamerkan bola sepak yang luar biasa. Trent melakukannya dengan kerap pada usia yang sangat muda. Jadi tiada yang perlu dibincangkan.

"Akan ada keputusan yang sukar buat Gareth, bukan setakat posisi itu semata-mata. Saya juga membuat keputusan yang sukar setiap hari -- ia sesuatu yang normal dalam tugasan ini.

"Tetapi kita tidak perlu bercakap mengenainya lagi. Biarkan saja Trent terus beraksi dengan melakukan apa yang dia mahir."