Sukan SEA: Danial tekad balas kepercayaan Kim Swee

Oleh Staff Writer 14 Ogos 2017 877
Sukan SEA: Danial tekad balas kepercayaan Kim Swee
Pemain tengah skuad bola sepak bawah 22 tahun negara, Danial Amier Norhisham, mengakui bukan mudah untuknya sampai ke tahap yang dimiliki, sekaligus bertekad untuk mempamerkan aksi terbaik dalam saingan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Dia tidak beraksi dalam sebarang perlawanan kompetitif selama lapan bulan akibat pembubaran Frenz United sebelum berhijrah ke skuad Piala Presiden Felda United.

Aksinya bersama skuad The Fighters telah menarik perhatian pengendali kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee, dan dipanggil menyertai pasukan negara bagi menghadapi kempen kelayakan Kejohanan AFC Bawah 23 Tahun di Bangkok, bulan lalu. 

Sejak itu, Danial menjadi tonggak utama Malaysia selepas menunjukkan keserasian tinggi bersama Amirul Hisham Awang Kechik di bahagian tengah dan dijangka menjadi taruhan utama Kim Swee bagi menghadapi perlawanan pertama Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 menentang Brunei, hari ini. 

"Saya hampir berputus asa tetapi Alhamdulillah, Allah bagi sambung main bola sepak lagi.

"Kalau boleh dalam latihan setiap hari bagi meningkatkan lagi prestasi agar saaya boleh pergi jauh lagi dalam karier," katanya. 

Danial juga mengakui bahawa mereka tidak boleh memandang mudah cabaran Brunei jika dilihat di atas kertas, skuad negara jiran itu bukan sebuah nama besar. 

"Semua pasukan sama sahaja sebab kita tidak tahu kekuatan mereka dan tidak pernah menentang mereka.

"Kita juga tidak boleh memandang rendah terhadap lawan, harus fokus kepada rentak sendiri selain memastikan tiga mata," tambahnya. 

Malaysia bakal memulakan aksi dalam acara bola sepak apabila turun menentang Brunei di Stadium Shah Alam, jam 8.00 malam ini.

 

Tentang Penulis

Staff Writer

Comment