Bola Sepak: Shapawi kagum pencapaian skuad Kim Swee

By Staff Writer 30 August 2017 3617
Bola Sepak: Shapawi kagum pencapaian skuad Kim Swee
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, berpuas hati dengan pencapaian skuad bola sepak B-22 negara dalam saingan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 sambil menyifatkan kejayaan meraih pingat perak adalah hasil daripada sokongan serta usaha semua pihak.

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee merangkul perak selepas tewas 0-1 di tangan Thailand dalam aksi final acara bola sepak yang berlangsung di Stadium Shah Alam, semalam.

Bagaimanapun, Shapawi menyifatkan ia sebagai satu kejayaan yang boleh dibanggakan selepas mengharungi pelbagai masalah, termasuk kesukaran untuk mendapatkan keizinan pasukan kelab dan negeri masing-masing bagi menyertai kem skuad negara, sebelum ini.

"Saya kagum dengan bola sepak. Dengan kesukaran mengumpulkan pemain dan jadual yang tidak kena dengan kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), termasuk harapan yang diletakkan begitu tinggi, pemain-pemain berjaya mara ke final berdepan Thailand yang merupakan lawan kuat.

"Ini adalah satu kejayaan daripada semua, termasuk kehadiran rakyat, sokongan dan kepimpinan kerajaan. Inilah erti 'bangkit bersama'.

"Faktor meraih 111 emas ini adalah hasil daripada sokongan rakyat, Perdana Menteri dan menteri-menteri lain. Saya serius dan bukan untuk mengampu," katanya.

Gambar kredit: FAMalaysiaOfficial

About Author

Staff Writer

Comment