Rombakan skuad hoki negara pada bulan lalu menyaksikan banyak persoalan timbul tentang status ketua jurulatih, Roelant Oltsman, menjelang Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Dhaka, Bangladesh, November depan.

Terbaru, pengendali dari Belanda itu berkongsi keputusannya meninggalkan The Malaysian Hockey Tigers lebih awal.

Tiga perkara yang disentuh oleh Oltsman dalam menjelaskan kenapa dia tidak meneruskan tugasan sebagai jurulatih di Malaysia.

Tulisannya dalam sepucuk surat yang dikirimkan kepada media itu juga dilihat bersifat peribadi.

Sejak COVID-19 melanda, Oltsman mengakui dia berdepan kesukaran kerana khuatir dengan keselamatan keluarganya yang berada di Eropah termasuk perubahan dunia dalam mengekang penularan pandemik itu termasuk kesukaran meninggalkan Malaysia.

Beberapa perbincangan telah dibuat bersama Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, dan akhirnya satu persetujuan berjaya dicapai untuk pengendali berusia 66 tahun itu meletak jawatan berkuat kuasa 31 Julai lalu.

Namun, perkara itu tidak didedahkan Oltsman serta merta bagi menghormati permintaan KHM.

Bekas pengendali India itu, yang kini sudah berada di negara kelahirannya, juga menegaskan pada awalnya dia tiada masalah untuk menamatkan kontraknya terlebih dahulu selain berjanji untuk membuat penjelasan lanjut dalam masa terdekat.

"Maaf tiada komen, apa-apa tunggu pengumuman daripada KHM.

"Kami hanya datang menjalani latihan.

"Saya tidak tahu apa-apa, tunggu apa kata pihak atasan," kata pengurus pasukan, Nasihin Nubli ketika ditemui wartawan Nadi Arena, Irfan Ali, di Bukit Jalil, hari ini.

Penolong jurulatih lelaki, Amin Rahim, juga hampir senada dengan perkembangan terbaru itu.

"Saya pun tidak tahu, buat masa ini saya tidak mahu ulas apa-apa lagi jadi kita tunggu daripada KHM.

"Kami baru dapat tahu, jadi kami tidak mahu buat sebarang spekulasi, biar KHM yang buat huraiannya.

"Kami memang tidak tahu apa-apa.

"Saya bergantung sepenuhnya (maklumat) daripada KHM," katanya.