Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) kini mengorak langkah ke hadapan dalam memastikan skuad hoki kebangsaan lelaki dan wanita berada di tahap terbaik apabila melakukan beberapa perubahan bagi memperkuatkan lagi struktur kejurulatihan yang sedia ada.

Ini termasuk membawa individu yang dipercayai mampu memberikan suntikan untuk memperkasakan lagi pasukan hoki kebangsaan selain mewujudkan jawatan yang dilihat cukup penting bagi memastikan kesinambungan kerjaya pemain kebangsaan tidak terhenti.

Dalam satu sidang media yang berlangsung hari ini, Presiden KHM, Dato Sri Subahan Kamal, telah mengumumkan perlatikan Arul Selvaraj sebagai ketua pembantu jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan yang akan memulakan tugasnya secara rasmi 15 Ogos ini.

Arul akan bekerjasama dengan Ketua Jurulatih, Roelant Oltmas, serta dua penolong jurulatih sedia ada dalam skuad lelaki kebangsaan ketika ini iaitu Muhammad Amin Rahim serta Nasihin Nubli Ibrahim yang bertindak sebagai jurulatih penjaga gol.

Dalam penstrukturan semula skuad wanita kebangsaan pula, KHM bakal menggabungkan skuad kebangsaan dan remaja menjadi satu bagi projek khas -- Skuad Sukan Asia 2026 dan pecahan usia adalah 80 peratus pemain berusia bawah 21 tahun sementara 20 peratus lagi merupakan pemain melebihi usia 21 tahun.

Buat masa ini, jawatan ketua jurulatih skuad wanita akan diputuskan dalam tempoh terdekat ketika KHM kini memiliki empat individu yang telah disenarai pendekkan di mana dua daripadanya merupakan warga Malaysia sementara dua lagi daripada luar negara.

Empat individu tersebut akan melalui proses temuduga akhir yang akan dipengerusikan oleh Presiden KHM bersama dua timbalannya, ahli jawatankuasa kejurulatihan KHM, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Dato' Ahmad Shapawi Ismail, selain Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli, Ketua Bahagian Sukan Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Zainal Abas, serta beberapa individu lain termasuk daripada Akademi Kejurulatihan Kebangsaan.

Badan induk itu juga tidak mahu membuat keputusan tergesa-gesa kerana individu yang dipilih nanti mempunyai tugas besar untuk meletakkan skuad hoki wanita negara ke satu tahap yang tertinggi dalam tempoh enam tahun akan datang.