Bekas pengendali skuad hoki negara, Stephen Van Huizen, menganggap sasaran Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dalam Kejohanan Juara Trofi Juara-Juara Asia (ACT) merupakan satu cabaran yang sukar untuk skuad bimbingan Roelant Oltmans.

Jurulatih dan pemain perlu memandang daripada aspek positif dengan sasaran yang sudah ditetapkan KHM.

"Kami tidak boleh mengatakan ia adalah mustahil tetapi sasaran yang sukar. Perkara pertama anda harus melangkah ke final kemudian menjangkakan cabaran yang sengit berdepan pasukan elit Asia seperti India.

"Untuk mara ke final juga agak sukar kerana melihat kepada status pasukan lain yang turut bertanding dalam kejohanan ini," katanya dihubungi wartawan Nadi Arena, Alice Harun.

Spekulasi bertiup kencang dengan jurulatih pasukan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Arul Selvaraj, akan dilantik sebagai ketua kepada penolong jurulatih skuad hoki negara.

Ia merupakan satu jawatan yang baru diwujudkan dan dilihat sebagai persediaan KHM seandainya Oltmans gagal mencapai sasaran juara di ACT.



Tidak mustahil Arul akan dilantik sebagai ketua jurulatih hoki negara yang baru apatah lagi kontrak Oltmans akan tamat 31 Disember ini.