Juara berganda Liga Hoki Remaja Malaysia (LHRM), Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), memberi jaminan tidak akan menarik diri daripada saingan liga yang masih belum dapat melakukan meniupkan wisel permulaan.

SSTMI antara 24 pasukan yang masih memberi komitmen untuk meneruskan saingan Liga Hoki Remaja yang sepatutnya bermula 25 Mac lalu.

Setakat ini, tiada pasukan merancang untuk menarik diri biarpun Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) belum menetapkan tarikh baru untuk saingan bermula.

Kehadiran SSTMI dilihat pasti menghangatkan saingan memandangkan mereka akan turun selaku juara liga dan Piala TNB.

"Terima kasih kepada pihak TNB kerana sentiasa memantau perkembangan pasukan dan atlet bagi memastikan pemain benar-benar bersedia apabila liga bermula. Kami mengharapkan liga dapat diteruskan apabila wabak Covid-19 beransur pulih," kata ketua jurulatih SSTMI, Wan Mohd Roslan Wan Abdul Rahman.

"Perbincangan dalaman akan diadakan tetapi tidak secara meluas. Saya yakin dan percayaa, selepas pengumuman Perdana Menteri baru-baru ini, beberapa sukan sudah dapat laluan. Saya fikir, Oktober atau November depan dapat meneruskan liga," tambah Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM, Datuk Seri Anil Jeet Singh.