Skuad hoki wanita kebangsaan perlu menunggu sehingga hujung Julai untuk memulakan sesi latihan biarpun skuad lelaki bakal turun padang menjalani latihan tanpa kontak bermula Rabu ini.

Ini kerana Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) mahu terlebih dahulu menyelesaikan proses pemilihan ketua jurulatih baharu skuad ‘The Malaysian Tigress’ itu, yang sepatutnya selesai April lepas, sebelum memulakan latihan pasukan.

Timbalan Presiden KHM, Prof Dr S. Shamala yakin proses memilih jurulatih, yang tergendala ekoran pandemik COVID-19 sejak Mac, dapat diselesaikan dalam masa sebulan lagi apabila pihaknya menyambung balik proses temu duga pada minggu depan.

“Kita nak selesaikan proses memilih jurulatih dahulu kerana jurulatih memainkan peranan penting dalam pemillihan pemain dan perancangan pasukan untuk empat hingga lapan tahun lagi. Kita belum temu duga 12 calon dari luar negara, manakala bagi calon tempatan, kita dah selesai temu duga 10 daripada 11 calon.

“Kita ada nama-nama yang baik dari luar negara, tetapi penundaan Sukan Olimpik ke Julai 2021 boleh menjejaskan kesediaan beberapa calon. Sepatutnya Olimpik berlangsung Julai ini, tetapi perubahan ini mungkin menyebabkan kontrak mereka dilanjutkan setahun lagi, jadi kita kena buat perbincangan dahulu,” katanya kepada Bernama di Stadium Hoki Nasional, hari ini.

Jawatan pengendali pasukan yang menduduki ranking dunia ke-20 itu menjadi kosong apabila Muhammad Dharma Raj Abdullah tidak memohon untuk jawatan berkenaan selepas kontraknya tamat pada 31 Disember tahun lepas. Beliau kini berkhidmat dengan pasukan Provinci Jawa Barat (Jabar), Indonesia.

Sementara itu, Shamala berkata skuad senior lelaki, serta remaja lelaki dan wanita yang bakal memulakan latihan pada 5 Julai ini, perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sebagai langkah keselamatan.

Antara SOP ialah membuat ujian calitan selepas melapor diri ke kem kebangsaan, menyahkuman kawasan latihan dan peralatan, berlatih dalam beberapa kumpulan kecil dan menjaga penjarakan sosial pada setiap masa.

Shamala berkata ketua jurulatih skuad senior lelaki, Roelant Oltmans akan pulang dari Belanda esok, manakala pembantunya Amin Rahim dan Nasihin Nubli akan mengendalikan pasukan sepanjang tempoh kuarantin jurulatih berusia 66 tahun itu.

Dalam pada itu, mengenai perancangan aksi persahabatan dan jelajah luar negara, Shamala berkata ia akan dibuat berdasarkan situasi wabak COVID-19 di negara-negara tersebut, namun menegaskan jelajah sangat penting untuk pendedahan dan meningkatkan mata ranking dunia.

“Persekutuan Hoki Dunia (FIH) telah mengubah sistem kiraan ranking dunia, jadi kita memerlukan aksi kompetitif untuk mengumpul mata dan mengekalkan kedudukan kita. Apapun, tertakluk kepada situasi COVID-19 dan kebenaran kerajaan, buat masa ini kita fokus latihan dalam negara,” katanya.

Shamala turut berharap kerajaan akan membenarkan penganjuran pertandingan dalam masa terdekat supaya KHM dapat menganjurkan kejohanan Piala Tun Abdul Razak 2020 dan Liga Hoki Remaja.

“Faktor keselamatan tetap menjadi keutamaan, kita bersedia dari segi SOP dan penganjuran, jadi kita memulakan kejohanan ini sebaik sahaja kerajaan mengumumkan kebenaran,” jelasnya.

-- BERNAMA