Perak akan bertemu Selangor dalam perlawanan akhir Kejohanan Hoki Kebangsaan B-16 kategori lelaki di Stadium Hoki Wisma Belia, Kuantan petang ini.

Juara bertahan itu bangkit dua kali daripada ketinggalan kepada Pahang untuk mengatasi tuan rumah 3-2 semalam, sekali gus muncul juara kumpulan Y selepas merakamkan dua kemenangan.

Dua jaringan dalam tempoh dua minit melalui Muhammad Danish Aiman Khairul Anuar (m-57) dan pukulan penalti Ahmad Faizal Jamil (m-59) mencukupi untuk Perak layak ke final buat kali ketiga berturut-turut.

Dalam pertembungan terakhir kumpulan Y yang turut mempunyai Melaka, tuan rumah mendahului melalui pukulan sudut penalti Muhamad Fazril Lokman pada minit ke-18.

Bagaimanapun Perak memadamkan defisit itu melalui Muhammad Amirul Haniff pada minit ke-24 untuk mengikat kedudukan dalam separuh pertama.

Pahang kembali mendahului melalui jaringan padang Muhammad Handzalah Abdul Hadi pada minit ke-50 tetapi anak buah Hairul Nizam Abd Rani itu membalas dengan dua gol pemusnah untuk menempah pertemuan dengan juara Kumpulan X, Selangor.

"Pemain tidak berputus asa walaupun Pahang berjaya mendahului dua kali.

"Mereka terus berjuang hingga ke wisel penamat dan akhirnya berjaya meraih kemenangan, " kata Nizam.

Sementara itu, Selangor seri 3-3 dengan Johor tetapi mengatasi pasukan selatan tanah air itu berdasarkan kelebihan jaringan manakala Terengganu akan bertemu Pulau Pinang dalam kategori perempuan, hari ini.