Bekas pemain negara, Rodhanizam Mat Radzi, menyuarakan kebimbangan mengenai peluang Malaysia mencapai sasaran final Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) di Ipoh, Perak, April depan.

Ini kerana skuad negara yang memanggil ramai pemain muda memerlukan masa untuk mencapai persefahaman terbaik.

"Pengendali pasukan, Roelant Oltmans, mengambil risiko dengan menyenaraikan ramai pemain muda dan tidak memiliki pengalaman di pentas antarabangsa. Buat masa ini, kita harus menghormati keputusan beliau dan melihat prestasi pasukan dalam PSAS nanti," katanya.

Selain Faizal Saari, Oltmans menggugurkan Fitri Saari, kapten pasukan, Sukri Mutalib, Joel Samuel Van Huizen dan Nabil Fiqri Mohd Noor.

Oltmans memanggil 34 pemain untuk melaporkan diri di Bukit Jalil, Isnin ini dengan 11 daripada mereka baru kali pertama menyertai skuad negara.

"Setiap jurulatih memiliki pendekatan yang tersendiri. Ramai pemain bakal menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri namun mereka harus melakukan yang sebaik mungkin untuk berkhidmat kepada skuad negara."